Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksLampiran Profil Belia Negara

 
 
 
 
 
 



Penduduk


Pada pertengahan tahun 2000 * penduduk Negara Brunei Darussalam dianggarkan seramai 338,400 orang. Pada masa itu kadar purata pertumbuhan penduduk adalah dianggarkan 2.3% setahun.

Etnik dan Ugama


Negara Brunei Darussalam ialah negara Islam. 67.8% penduduknya adalah Melayu terdiri daripada puak asli iaitu Melayu Brunei, Kedayan, Tutong, Belait, Bisaya, Dusun dan Murut; 14.8% orang Cina dan 5.9% puak asli Iban, Dayak dan Kelabit; dan selebihnya, 11.4% adalah rakyat asing yang kebanyakannya pekerja asing.

Taburan Penduduk


Negara Brunei Darussalam terdiri daripada 4 daerah: Daerah Brunei-Muara, Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong. Kebanyakan penduduk tinggal di kawasan bandar. Taburan penduduk daerah ditunjukkan dalam Jadual 1.

Jadual 1: Taburan Penduduk Menurut Daerah

Daerah ​Penduduk (%)
​Brunei Muara​66.2%
​Belait​20.2%
​Tutong​10.8%
​Temburong​2.8%

[ atas ]

Penduduk Belia


Negara Brunei Darussalam mempunyai penduduk yang terdiri dari generasi muda. Terdapat 261,800 penduduk yang berumur di bawah 39 tahun mewakili kira-kira lebih 77.4% daripada jumlah penduduk. Kumpulan yang ditakrifkan sebagai Belia bagi tujuan Dasar Belia Negara adalah yang berumur 15-40 tahun, manakala Pemimpin Belia adalah tidak dihadkan umur.

* Brunei Darussalam Key Indicators 2000

atas ]

Struktur dan Pengaruh Keluarga


Secara tradisi, sistem keluarga besar telah berakar umbi di kalangan struktur keluarga di Negara Brunei Darussalam. Sistem ini telah berjaya membantu ahli keluarga dari segi keperluan peribadi, kebendaan, kewangan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kemanusiaan. Namun begitu jika golongan muda terus bergantung kepada keluarga mereka sistem ini akan melemahkan sifat berdikari.

Sekarang kecendurungan kepada keluarga asas sudah mulai nampak di Negara Brunei Darussalam. Tanpa sokongan sampingan daripada sistem keluarga luas, sistem keluarga asas dapat menggalakkan orang menjadi bersifat individualistik.

atas ]

Kesihatan, Pendidikan, Celik Huruf dan Pendapatan


Pelbagai penunjuk menunjukkan bahawa penduduk Negara Brunei Darussalam adalah masyarakat yang sihat. Dalam tempoh 20 tahun iaitu dari 1971-1991 jangka hayat di kalangan lelaki meningkat dari 62 tahun kepada 72 tahun, dan di kalangan perempuan dari 62 tahun kepada 76 tahun. Kadar kematian anak damit sekarang adalah 2.8 per 1,000 lahir hidup berbanding dengan 11 pada tahun 1993.

Pendidikan dari peringkat rendah ke peringkat menengah adalah disediakan oleh Kerajaan dan pendaftaran dalam pendidikan adalah tidak wajib tetapi universal. Dasar Pendidikan Negara menyatakan bahawa kerajaan akan menyediakan sekurang-kurangnya 12 tahun pendidikan bagi setiap anak Brunei, iaitu 7 tahun dalam pendidikan rendah (termasuk pra-sekolah), 3 tahun dalam menengah bawah dan 2 tahun dalam menengah atas atau dalam sekolah vokasional atau maktab teknik.

Kadar celik huruf telah meningkat sejak tahun 1971. Pada tahun itu 78.4% lelaki dan 58.8% perempuan sudah celik huruf. Menjelang tahun 2000 ia telah meningkat kepada 94.6% bagi lelaki dan 90% bagi perempuan.

Pada tahun 2000 Per Kapita Keluaran Negara Kasar (GDP) bagi Negara Brunei Darussalam adalah kira-kira B$23,600 (US$13,880).

[ atas ]

Tenaga Buruh


Bekal tenaga buruh di Negara Brunei Darussalam pada tahun 1999* berjumlah 140,000 orang, iaitu 88,300 lelaki dan 51,700 perempuan. Daripada jumlah ini, 133,500 adalah bekerja: 87,700 lelaki dan 47,800 perempuan. Kadar penyertaan tenaga buruh adalah tinggi bagi lelaki (64.2%) dan lebih rendah bagi perempuan (35.8% ).

Daripada 106,750 tenaga buruh pada tahun 1991, 58% terdiri dari orang tempatan dan 42% pekerja asing (kebanyakannya dari negara-negara ASEAN). Peratus pekerja asing berkurangan pada masa ini ekoran penghantaran balik pekerja-pekerja tersebut disebabkan oleh kemelesetan ekonomi. Angka sebenar tidak dapat diperolehi kerana jumlah pengambilan sentiasa berubah mengikut permintaan pemasaran. Pergantungan yang tinggi kepada buruh luar berterusan hingga ke hari ini.

[ atas ]

Pekerjaan


Kerajaan merupakan majikan tunggal yang terbesar di Negara Brunei Darussalam dengan lebih 45% tenaga buruh pada tahun 1991. Pada tahun yang sama terdapat seramai 23,800 di sektor pengeluaran, iaitu 60% daripada pekerja asing. Walau bagaimana pun angka ini tidak lagi digunakan sekarang disebabkan ramai yang sudah dihantar balik.

atas ]

Pengangguran


Pada tahun 2000 kadar pengangguran di Negara Brunei Darussalam di kalangan penduduk tempatan adalah 4.6% * (lebih 6,500 orang), berbanding dengan 2.6% tahap purata pengangguran pada tahun 1993.

Apa yang membimbangkan ialah pengangguran lebih tertumpu kepada golongan belia. Terdapat di kalangan mereka yang berumur 15-19 tahun yang tidak meneruskan persekolahan. 41 % daripada mereka ini tidak melakukan aktiviti yang berfaedah dari segi ekonomi. Di kalangan belia yang berumur 20-24 tahun hampir 18% daripada mereka adalah menganggur. Bagi kedua-kedua kumpulan ini, peratus pengangguran adalah lebih tinggi di kalangan perempuan berbanding dengan lelaki. Angka ini menunjukkan bahawa usaha serius adalah diperlukan bagi mengatasi masalah ini bagi memudahkan belia-belia yang telah mencapai umur mendapat pekerjaan.

* Brunei Darussalam Key Indicators 2000

atas ]

Arus Sosial, Ekonomi dan Kebimbangan Lain


Apa juga penunjuk yang digunakan sama ada taraf kehidupan, pendapatan, per kapita, tahap pekerjaan, kesihatan atau penyertaan dalam pendidikan, Negara Brunei Darussalam adalah pada tahap yang tinggi. Di samping masalah pengangguran yang sebutkan di atas, terdapat arus sosial dan ekonomi dan kebimbangan lain yang perlu dikenalpasti dan ditangani oleh Dasar Negara, termasuk Dasar Belia Negara. lni termasuk:

Sumber minyak dan gas yang menjadi tunggak ekonomi dan kemakmuran negara pada masa ini adalah terhad. Oleh itu sektor pengeluaran dan pekerjaan lain perlu dimajukan sementara penghasilan keluaran pertanian tempatan yang semakin merosot pada tahun-tahun kebelakangan ini hendaklah dikekang dan dimajukan semula.

Negara telah melalui proses pembandaran. Walaupun ini suatu kemajuan tetapi langkah-langkah hendaklah diambil supaya proses pembandaran ini tidak menyumbang kepada kemerosotan luar bandar dan pertanian serta peningkatan masalah-masalah sosial.

Terdapat kemerosotan pertubuhan-pertubuhan belia/kemasyarakatan dan usaha-usaha bantu diri di kalangan penduduk. Di antara tahun 1964 hingga 1984, bilangan pertubuhan bukan kerajaan bertambah dari 20 kepada 220. Tetapi pada hari ini dianggarkan kurang satu per tiga daripada pertubuhan­pertubuhan ini masih aktif, dan sebahagian besar belia sama ada tidak terlibat dalam pertubuhan belia atau tidak berminat untuk menubuhkan atau menghidupkan semula pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Pergantungan pada pekerjaan di sektor awam merupakan salah satu faktor yang menyebabkan tahap pengangguran yang tinggi di kalangan belia. Daripada bekerja dengan sektor swasta (di mana sebahagian besarnya bergantung kepada buruh luar) yang mereka anggap rendah tarafnya dari sektor awam, belia lebih suka terus menganggur dan bergantung pada keluarga mereka. Di sini, sikap belia dan keluarga mereka perlu berubah.

Walaupun kesetabilan keluarga dengan pengaruh dan sokongan kuat kepada orang-orang muda di Negara Brunei Darussalam memberikan kesan yang positif, dikhuatiri jika mereka berterusan bergantung terlalu lama kepada keluarga akan menjadikan mereka kurang berdikari dan tidak mengendahkan yang mereka adalah menganggur.

Walaupun Negara Brunei Darussalam mempunyai kadar jenayah yang rendah, terdapat kebimbangan bahawa kadar jenayah di kalangan belia adalah meningkat. Juga terdapat kebimbangan akan perkembangan budaya lepak di kalangan belia, dan tentang meningkatnya masalah sosial di kalangan mereka.

Revolusi maklumat dan teknologi di seluruh dunia, yang membawa fesyen dan imej budaya lain, terutamanya budaya asing, ke pelusuk kedai dan rumah-rumah di Negara Brunei Darussalam, seiring dengan arus kehidupan di bandar, telah mengakibatkan kemerosotan kebudayaan tempatan dan tradisi tempatan, sehingga menjejaskan identiti dan kemajuan masa depan.

atas ]