Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksBidang Strategi

 
 
 
 
 
 


Bidang Strategi Penting dan Kumpulan Sasaran Utama


Rujukan telah dibuat kepada beberapa isu sejarah dan kontemporari yang melibatkan belia di Negara Brunei Darussalam. Dalam Dasar Belia Negara perkara tersebut digambarkan dalam beberapa bidang strategi penting dan kumpulan sasaran yang dijadikan fokus perhatian utama Perkara itu adalah seperti berikut:

Pendidikan Perkembangan Diri


Apa jua yang dilakukan oleh pihak Kerajaan dan pihak lain untuk mengutarakan kebanyakan isu yang melibatkan belia di Negara Brunei Darussalam, pada hakikatnya bergantung pada kesediaan dan kebolehan belia itu sendiri untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah yang mereka hadapi dan menggunakan peluang yang ada. Oleh itu strategi penting yang boleh didapati dalam semua kegiatan dan program belia yang dilaksanakan di bawah Dasar Belia Negara adalah perkembangan peribadi, termasuk prinsip-prinsip berugama, supaya belia memperkembangkan sikap peribadi dan kualiti yang diperlukan untuk melengkapkan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi melalui sistem pendidikan dan skim latihan.

Pekerjaan dan Latihan Belia


Untuk menghadapi dua keperluan yang berkaitan iaitu mengatasi tahap pengangguran yang tinggi di kalangan belia dan menggalakkan lebih ramai daripada mereka bekerja di sektor swasta, maka skim latihan, penempatan kerja dan maklumat kerja/kerjaya telah diperkenalkan dan akan diperluaskan. Skim ini akan dikendalikan dengan kerjasama yang rapat dengan majikan Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan yang berkaitan. Oleh kerana keluarga juga mempunyai pengaruh yang kuat ke atas belia, mereka ini juga perlu sama dilibatkan. Bagi skim ini kumpulan sasaran utama adalah belia yang tercicir dari sekolah di peringkat pendidikan awal dan/atau mereka yang memiliki kelulusan pendidikan yang rendah kerana kumpulan inilah yang terdedah bukan sahaja kepada pengangguran tetapi juga kepada penyalahgunaan dadah dan jenayah kecil. Perkembangan peribadi juga merupakan tema yang utama bagi perkhidmatan ini.

Kepimpinan


Di bawah Dasar Belia Negara, dengan penekanan terhadap perkembangan peribadi, keutamaan akan diberikan untuk mengembangkan kebolehan dan kualiti kepimpinan belia seperti teladan yang digambarkan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam. Fokus terpenting di sini ialah untuk mengekang kemerosotan bilangan pertubuhan belia dan pertubuhan bukan-kerajaan negara ini. Selain daripada program latihan kepimpinan, sokongan dan latihan juga akan diberikan kepada pemimpin-pemimpin pertubuhan untuk memastikan yang mereka tetap kukuh dan komited dengan tanggungjawab mereka.

Daya Usaha


Gabungan perkembangan peribadi, pekerjaan, latihan dan kepimpinan diberikan fokus utama bagi menggalakkan dan membolehkan lebih ramai belia melibatkan diri dalam daya usaha ekonomi dan sosial. Melalui skim latihan, sokongan dan kewangan khas, termasuk sokongan aktif bagi penubuhan badan-badan koperasi sekolah, keutamaan akan diberikan untuk memajukan lebih ramai usahawan belia.

Persefahaman Antarabangsa


Keutamaan sentiasa diberikan untuk memastikan bahawa belia menyedari sepenuhnya akan kedudukan mereka, dan kedudukan negara mereka dalam ASEAN, rantau Asia, komanwel dan antarabangsa. Oleh itu program perhubungan dan pertukaran antarabangsa akan terus menjadi bahagian penting Dasar Belia Negara.

Perkhidmatan Kepada Orang Lain dan Negara


Sungguhpun Negara Brunei Darussalam pada keseluruhannya dan setiap individu penduduknya mesti berusaha untuk berjaya dan berdaya saing, tetapi terdapat bahaya bahawa perkara ini akan tercapai dengan mengorbankan sikap pemedulian sosial dan perpaduan di kalangan masyarakat. Tanda-tandanya sudah nampak yang sikap individualisme dan budaya pengguna telah mengakibatkan kehilangan nilai tradisi yang positif. Oleh yang demikian, perkhidmatan, program dan kegiatan kemasyarakatan yang ada sekarang akan dikembangkan dan dipertingkatkan serta diberikan keutamaan di bawah Dasar Belia Negara.