Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksFalsafah Sukan

 
 
 
 
 
 


Untuk membentuk sebuah masyarakat yang cergas, sihat dan kukuh dari segi fizikal dan mental - bersemangat dan berpendirian positif dalam hidup, berdisiplin dan BERDIKARI melalui penyertaan semua lapisan masyarakat secara aktif dan sukarela dalam semua aktiviti sukan, rekreasi dan kecergasan fizikal dengan berpegang kepada konsep kenegaraan, iaitu "Melayu Islam Beraja".

Sukan merupakan satu aktiviti yang paling berkesan dan mempunyai potensi menolong seseorang itu memperolehi sebanyak-banyak keseronokan dan kepuasan dalam hidup, mencapai nilai terpuji hidup (quality of life) dan keperluan asas manusia.

Sukan juga adalah satu penglibatan pembangunan sosial melalui penyertaan beramai-ramai sama ada ahli keluarga, sahabat handai, masyarakat setempat dan masyarakat asing - semuanya menggalakkan pergaulan, persaingan yang sihat dan mengeratkan perhubungan sosial serta melahirkan masyarakat yang tidak mengasingkan diri.

Keperluan asas manusia merangkumi berbagai-bagai faktor daripada keperluan fiziologi kepada kepuasan mutlak diri.

Kemanfaatan dan sumbangan sukan kepada individu, masyarakat dan dunia antarabangsa dapat dirumuskan seperti berikut: -

Di Peringkat Individu,

  • Peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal.
  • Pembentukan sahsiah (keperibadian) yang murni, kepercayaan serta bergantung kepada diri sendiri (berdikari) dan pendirian yang positif;
  • Penggunaan masa lapang yang bermakna dan bermanfaat;
  • Kekurangan tekanan (stress) hidup moden;
  • Semangat bergaul dan bersahabat antara individu;
  • Peningkatan kemahiran melalui latihan dan persaingan; dan
  • Peluang memenuhi keperluan asas manusia mencapai kepuasan mutlak individu.

Di Peringkat Masyarakat,


  • Menggalakkan pembinaan kualiti mental masyarakat seperti semangat berdikari dan berdisiplin;
  • Membina masyarakat yang sihat dan cergas dari segi fizikal, mental dan spiritual. Ini akan mendorongkan peningkatan produktiviti negara;
  • Menimbulkan suasana untuk memupuk perhubungan dan penyatuan masyarakat di kalangan rakyat dan penduduk berbagai keturunan dan status sosial dan menghindarkan hidup berpuak dalam masyarakat;
  • Mencegah jenayah dan aktiviti liar melalui penggunaan masa lapang yang berfaedah dan sebagainya; dan
  • Menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara melalui industri sukan, rekreasi dan pelancongan.

Di Peringkat Antarabangsa,

  • Mengeratkan hubungan muhibah serta persefahaman antara sebuah negara dengan negara lain ke arah keamanan dan kesejahteraan dunia; dan
  • Mempertingkatkan mutu pencapaian individu dan kecemerlangan melalui pertandingan antarabangsa yang menghasilkan kebanggaan diri, keluarga, bangsa dan negara.

[ atas ]