Aktiviti sukan dan rekreasi telah sekian lama menjadi sebahagian daripada cara hidup rakyat dan penduduk negara ini dan berkembang hingga menghasilkan kepimpinan dan organisasi sukarela dalam tahun-tahun lima puluhan. (Persatuan Olahraga Amatur Brunei ditubuhkan pada tahun 1953 dan Persatuan Bolasepak Amatur Brunei pada tahun 1956). (3) Kini kira-kira 32 jenis sukan mempunyai Persatuan Sukan Kebangsaan dan lebih daripada 150 pertubuhan / kelab sukan dan belia menjalankan aktiviti sukan. Majlis Sukan Brunei yang telah ditubuhkan pada tahun 1975 dan dibubarkan pada tahun 1987 bertujuan menggabung dan menyelaraskan Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan. Peranannya diambil alih oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ditubuhkan pada tahun 1984. Majlis ini menjadi anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan mewakili Negara dalam temasya / kejohanan anjuran / naungannya.
Aktiviti sukan di sekolah dan institusi pelajaran tinggi dirancang dan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan, termasuk persediaan dan penyertaan di kejohanan peringkat ASEAN. Kementerian ini sedang merancang dan melaksanakan beberapa program pembangunan yang positif untuk melahirkan kumpulan atlit yang bermutu dan supaya dapat diselaraskan dengan program pembangunan sukan negara yang berasaskan kesinambungan.
Jabatan-jabatan Kerajaan, Gedung-gedung Perniagaan dan Kelab-kelab Belia dan Sukan mengadakan berbagai aktiviti sukan dan rekreasi untuk faedah pegawai dan kakitangan dan ahli kelab.
Di pihak Kerajaan usaha memimpin dan menyelaras aktiviti sukan bermula secara rasmi pada tahun 1974 (4) dengan penubuhan Jabatan Kebajikan, Belia dan Sukan dengan tugas seperti berikut:-
Mengawasi, mengatur langkah-langkah mengelola, mentadbir dan melaksanakan rancangan-rancangan mengenai dengan kebajikan, belia dan sukan;
Merancang dan memajukan sukan secara terpimpin dan terkawal dengan tujuan supaya dapat membentuk masyarakat yang kukuh dan bersatu padu, kukuh bukan saja dari segi tubuh badan ahli-ahli masyarakat itu tetapi juga dari segi pendirian dan semangat mereka sesuai dengan kehendak-kehendak masyarakat dan Negara Brunei Darussalam.
Pada tahun 1984 Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah ditubuhkan untuk memperkukuhkan lagi kepimpinan, pelaksanaan dasar penyelarasan program.
Pada keseluruhannya penyertaan masyarakat dalam sukan dan rekreasi semakin bertambah melalui berbagai-bagai rancangan dan kemudahan sukan yang disediakan / dalam proses pembinaan / perancangan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Di sektor "Sukan Untuk Masyarakat" banyak lagi yang perlu diungkayahkan bagi memperluaskan penyertaan yang lebih aktif dan menghasilkan satu tapak atau landasan yang kukuh ke arah kecemerlangan. Di sektor "Sukan Prestasi Tinggi", walaupun beberapa kemajuan telah dicapai tetapi jika dibandingkan dengan negaranegara di rantau ASEAN kemampuan atlit dan pasukan negara amat terhad dan jauh ketinggalan.
Antara faktor-faktor yang dikaitkan dengan kelemahan sukan keseluruhannya ialah:-
- Ketiadaan tapak yang kukuh disebabkan masih kekurangan penyertaan /penglibatan yang aktif di kalangan masyarakat dan penaburan (distribution) kemudahan-kemudahan sukan, terutama bagi sektor "sukan untuk masyarakat”;
- Kurang keberkesanan kepimpinan dan kelemahan pengurusan terutama di kalangan pertubuhan / persatuan sukan kebangsaan yang disebabkan, antara lain, kurang jelas (bertindih) peranan dan tanggungjawab dan khidmat yang tidak sepenuh masa;
- Kelemahan program kejurulatihan dari segi bilangan jurulatih, kelayakan / pengalaman dan bertugas secara sambilan.
- Kekurangan perancangan pembangunan yang saintifik tanpa kesinambungan antara satu sektor program dengan yang lain, termasuk perancangan tiap-tiap jenis sukan, dan tanpa penyelarasan yang berkesan; dan
- Kekurangan sumber kewangan di kalangan pertubuhan / persatuan sukan kebangsaan untuk pengurusan dan pelaksanaan program tanpa usaha mendapatkannya sendiri.
Nota
- "Sukan Untuk Masyarakat", ringkasnya (SUM) rnerujuk kepada aktiviti rekreasi fizikal dan sukan yang berlaku secara spontan atau diuruskan dengan tujuan menggalakkan penyertaan yang lebih luas dan bukan semata-mata untuk pertandingan.
- "Sukan Prestasi Tinggi", ringkasnya (SPT) merujuk kepada sukan pertandingan yang diuruskan mengikut peraturan-peraturan dan syarat-syarat Persekutuan Sukan Antarabangsa dan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan dan Persatuan Sukan Kebangsaan bagi menentukan pemenang.
- Persatuan yang mengawal standard, syarat-syarat permainan dan pertandingan dan bergabung dengan Persekutuan Sukan Antarabangsa.
- Surat Keliling Pejabat Setiausaha Kerajaan Bilangan 26/1974.