BERITA TERKINI
19

Sukan platform pengukuhan integrasi nasional

posted on
Sukan platform pengukuhan integrasi nasional
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 18 Mac. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) hari ini mengadakan muzakarah bersama dengan 50 persatuan sukan kebangsaan di Dewan Digadong, Bangunan KKBS.
 
Muzakarah yang dipengerusikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof adalah sebagai satu inisiatif KKBS mendekati persatuan-persatuan berkenaan dan mengorak langkah dalam pembangunan sukan ke arah mencapai Wawasan Negara 2035.
 
Selain itu, muzakarah tersebut juga untuk memberikan ruang dan peluang kepada para persatuan bagi meluaskan jaringan rangka kerja dan platform untuk bertukar-tukar maklumat dan pandangan mengenai sukan.
 
Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya berkata, aktiviti sukan sudah dilihat sebati dalam kalangan rakyat di negara ini.
 
Jelas Yang Berhormat, sukan digunakan oleh kerajaan sebagai satu mekanisme untuk memupuk semangat kekitaan dan mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat.
 
Menurut Yang Berhormat, kerajaan melihat sukan sebagai satu bidang yang dapat memberi pelbagai sumbangan terutama kepada peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan, di samping pemupukan semangat patriotik, pembentukan masyarakat berdisiplin dan berdaya saing.
 
Sehubungan itu, Yang Berhormat menyeru semua pihak sama ada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat terutamanya untuk menjalin kerjasama bagi tujuan tersebut.
 
Dalam pada itu, Yang Berhormat berkata bahawa Negara Brunei Darussalam adalah antara negara yang telah terbukti berjaya menggunakan sukan sebagai platform atau landasan kepada pengukuhan integrasi nasional.
 
"Matlamat kita adalah untuk menjadikan sukan sebagai salah satu amalan hidup yang aktif, cergas, sihat dan bersaing dalam kalangan rakyat," kata Yang Berhormat.
 
Yang Berhormat menambah, budaya sukan ini merangkumi penyertaan dalam aktiviti sukan dan kegiatan fizikal melalui sukan untuk semua iaitu yang melibatkan semua kegiatan fizikal termasuk aktiviti sukan, permainan tradisional, rekreasi fizikal dan kecergasan yang berlaku secara spontan atau terurus.
 
Jelas Yang Berhormat, ia bertujuan untuk menggalakkan penyertaan yang lebih luas dalam kalangan masyarakat umum dan sukan prestasi tinggi iaitu sukan pertandingan yang diuruskan mengikut peraturan dan syarat-syarat persekutuan sukan antarabangsa. 
 
Turut hadir, Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abd. Samad  serta pegawai-pegawai kanan KKBS.
 
 
Sumber: Pelita Brunei 

 

Return