BERITA TERKINI
17

Tutongku Ceria dapat sambutan

posted on
Tutongku Ceria dapat sambutan
TUTONG, Ahad, 16 April. - Suasana Pekan Tutong penuh meriah apabila dikunjungi oleh pelbagai masyarakat dan penduduk di daerah ini termasuk para pengunjung dari daerah lain untuk sama-sama mengikuti pelbagai kegiatan yang dianjurkan bagi menyokong Tutongku Ceria.
 
Program Tutongku Ceria dikendalikan bersama oleh Jabatan Daerah Tutong dan Jabatan Bandaran Tutong dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, badan-badan bukan Kerajaan, Majlis-majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) Daerah Tutong serta pihak swasta.
 
Tutongku Ceria diisikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuklah Acara Riadah Berbasikal mengelilingi Pekan Tutong sejauh 16 kilometer bermula di hadapan Jeti Sungai Tutong melintasi Jalan Enche Awang; Kampung Panchor Dulit; Kampung Panchor Papan; Lebuhraya Muara-Tutong; Bukit Bendera; Lebuhraya Tutong-Telisai dan Jalan Serambangun sambil melintasi bangunan-bangunan kerajaan dan mercu tanda di sekitar Pekan Tutong.
 
Hadir sama bagi menyertai acara riadah berbasikal ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
 
Juga menyertai, Ahli Majlis Mesyuarat Negara di daerah ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud; Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dan penduduk di daerah ini.
 
Beberapa aktiviti sampingan juga turut diadakan seperti aktiviti yang dikendalikan di bawah Zon Aktif Daerah Tutong iaitu Senamrobik, Sukan Keluarga dan sebagainya.
 
Selain itu pelbagai jualan produk makanan dan minuman serta kraf tangan menambahkan keceriaan pagi daerah ini dengan penyertaan Satu Kampung Satu Produk (1K1P), Galeri 1K1P daerah ini, Jabatan Penjara dan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang melibatkan para belia dan beliawanis daerah ini.
 
Program berkenaan merupakan kesinambungan daripada inisiatif Hari Tanpa Kereta dan Program Bandarku Ceria yang diadakan di Bandar Seri Begawan pada setiap hari Ahad bermula jam 6.00 hingga 10.00 pagi.
 
Program tersebut juga adalah salah satu inisiatif pihak kerajaan bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan serta membuka peluang para peniaga PKS selain mengurangkan 'carbon footprint' serta menggalakkan cara hidup sihat.
 
Penduduk dari Kampung Panchor Papan, Awang Umar Jamalullail, 18, semasa ditemui berkata Program Tutongku Ceria yang diadakan ini sungguh meriah sekali dan beliau merasa amat gembira ianya diadakan pada hari ini demi meningkatkan kesejahteraan dan mengukuhkan ikatan silaturahim serta memberikan semangat kepada penduduk di Daerah Tutong untuk merasai program berkenaan yang buat julung kalinya diadakan.
 
 
Sumber : Pelita Brunei

 

Return