BERITA TERKINI
15

Skuad Ragbi Kebangsaan sertai kejohanan SEA 7's

posted on
 Skuad Ragbi Kebangsaan sertai kejohanan SEA 7's
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 April. - Skuad Ragbi Kebangsaan Brunei Darussalam akan mewakili negara ke Kejohanan ‘South East Asia’ (SEA) 7's pada 14 April ini di Stadium Yio Chu Kang, Republik Singapura.
 
Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, yang disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof kepada Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Ragbi, Awang Rosmi bin Janadie.
 
Kejohanan tersebut jua disertai oleh tujuh pasukan dari negara rantau Asia Tenggara, iaitu Republik Singapura selaku tuan rumah, Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Laos, Malaysia, Republik Filipina dan Thailand.
 
Terdahulu, Pengurus Skuad Ragbi Kebangsaan Brunei Darussalam, Pengiran Mohd. Ali Redzuan bin Pengiran Haji Damit semasa ditemu bual Pelita Brunei menyatakan, seramai 12 pemain bersama seorang ketua pasukan dan dua jurulatih menyertai kejohanan berkenaan.
 
"Jika skuad kebangsaan berjaya memasuki ke peringkat akhir, mereka akan berlawan di Stadium National, Republik Singapura pada 15 April 2017 ini," jelasnya.
 
Tambahnya, tujuan mengikuti kejohanan adalah untuk membuat persediaan pada kejohanan-kejohanan akan datang.
 
Oleh itu, beliau berharap pasukan negara akan dapat memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan yang bertanding dalam kejohanan tersebut.
 
 
 
Sumber : Pelita Brunei

 

Return