Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

BERKENAN BERANGKAT KE MAJLIS PERHIMPUNAN BERTADARUS AL-QURAN BELIA SENEGARA

​[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Jun 2018 - Lebih 1,000 beliawanis daripada agensi-agensi kerajaan, persatuan-persatuan belia, penuntut-penuntut, bekas peserta-peserta program belia dan orang perseorangan menyertai Majlis Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia Senegara bagi Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke majlis perhimpunan tersebut berlangsung di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.

Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia dijunjung oleh isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Nurhayana Janis binti Abdullah Lim dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Paduka Haji Abdul Jalil.

Ia dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah bagi peserta perempuan yang dipimpin oleh johan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi, Dayang Hajah Norfaezah binti Haji Emran.

Manakala itu, bacaan khatam Al-Quran bermula dari Surah Adh-Dhuha hingga Surah Al- Massad dikepalai oleh penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Dayang Nur Hafizah binti Zulaini dan diteruskan dengan bacaan Takhtim oleh Kumpulan Pendikir Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Sementara itu, Doa Khatam dibacakan oleh penuntut ITQSHHB, Dayang Nur Faaiqah Nazhimah binti Haji Zain dan diteruskan dengan Dikir Marhaban oleh Kumpulan Pendikir KUPUSB.

Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Dayang Hajah Norfaezah binti Haji Emran.

Majlis tersebut antara lain bertujuan untuk menyemarakkan bulan Ramadan dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat, terutama dengan pembacaan Al-Quran, di samping untuk mempertingkatkan dan mengukuhkan persefahaman serta kerjasama di antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia serta menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan.

Dengan adanya majlis seumpama itu, diharap dapat meningkatkan lagi penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan yang sudah setentunya berupaya menjadi benteng buat generasi belia dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

Turut hadir ialah Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara, isteri-isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap.

Attachments
Created at 6/11/2018 10:38 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 6/11/2018 10:40 AM by Lee Chin Foo