Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

11.12.2022 | Kempen Hari Bertindak (Day Of Action) Sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2022

ND5_6976.jpg

ND5_6998.jpg 

ND5_7010.jpg 

ND5_7067.jpg 

ND5_7091.jpg 

ND5_7116.jpg 

ND5_7141.jpg 

ND5_7171.jpg 

ND5_7192.jpg 

ND5_7212.jpg 

ND5_7241.jpg 

ND5_7306.jpg 

ND5_7321.jpg

TUTONG, Ahad, 17 Jamadilawal 1444H/11 Disember 2022M. – Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) khususnya Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah mengadakan Kempen Hari Bertindak Sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2022 dengan tema Perpaduan Melalui Kerja Sukarela (Solidarity Through Volunteering) yang diadakan serentak di keempat-empat daerah bermula pada hari ini, 11 Disember 2022 hingga 31 Januari 2023.

Hari Sukarelawan Antarabangsa adalah mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diadakan pada 5 Disember setiap tahun. Hari Sukarelawan Antarabangsa dilihat sebagai peluang unik untuk sukarelawan dan organisasi meraikan usaha mereka, berkongsi dan mempromosi kerja mereka serta menyumbang kepada keamanan dengan menyokong pengiktirafan sukarelawan dalam program pembangunan.

Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa ini bertujuan untuk menyediakan platform bagi mengumpulkan masyarakat Negara Brunei Darussalam dalam pembangunan semangat kesukarelawanan, serta menjadi lambang perpaduan dan usaha di pelbagai peringkat masyarakat menuju ke arah perubahan melalui pendekatan bersama dan bekerjasama.

Antara lain objektif utama sambutan adalah untuk mengadakan Kempen Hari Bertindak bagi mengumpul dan memantau program kesukarelawanan disamping mengadakan jerayawara untuk memberi kefahaman tentang konsep kesukarelawanan dan memberi penghargaan kepada sukarelawan dan organisasi yang aktif dalam kerja sukarela.

Bersempena dengan sambutan tersebut, Majlis Pelancaran Utama Kempen Hari Bertindak telah berlangsung di Bangunan Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Tutong.

Hadir menyempurnakan majlis pelancaran utama dan menyampaikan sijil-sijil penghargaan ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat majlis.

Aturcara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Mateen Bolkini bin Haji Ahmad, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, Pengarah Belia dan Sukan selaku Pengerusi Majlis dan diteruskan dengan penyampaian penghargaan kepada 10 Trailblazers (sukarelawan yang aktif) dan 10 Highflyers (organisasi yang aktif) melalui aplikasi Mengalinga. Majlis diikuti lagi dengan penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada para sukarelawan Home Quarantined Individuals (HQI) serta kepada penaja. Majlis diselajurkan dengan pelancaran Kempen Hari Bertindak dengan pelepasan Konvoi Pacuan Empat Roda bagi penghantaran bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Daerah Tutong. Tetamu kehormat seterusnya menyertai aktiviti-aktiviti sukarelawan yang disediakan oleh agensi-agensi yang ikut serta dalam Kempen Hari Bertindak 2022 seperti mewarna graviti tapak permainan dan menanam pokok-pokok disekitar Taman Permainan Skate Park Daerah Tutong.

Tetamu kehormat juga turut menyertai aktiviti Kempen Hari Bertindak di Kampong Penanjong iaitu membersihkan kawasan rumah warga emas dan menyerahkan sumbangan bantuan yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat dan para sukarelawan. Tetamu kehormat kemudiannya bergerak ke Pantai Kampong Penanjong bagi aktiviti menanam pokok bidara yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Kampong (MPK) Kampong Penanjong. Seterusnya tetamu kehormat bergerak ke Pusat Belia Daerah Tutong bagi mengikuti aktiviti budaya membaca (Pembangunan Belia Melalui Pendidikan - Diskusi Mendekati Belia Dengan Pembacaan) yang dikendalikan oleh Persatuan Pengakap Daerah Tutong dan Dewan Bahasa dan Pustaka Daerah Tutong. Akhirnya tetamu kehormat bergerak ke Kompleks Sukan Tutong bagi menyaksikan festival jual-jualan dan pertunjukan pameran seni dan budaya serta pertunjukan haiwan.

Turut hadir menyertai aktiviti-aktiviti berkenaan ialah isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Binanun binti Hj Bungsu; Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Yang Mulia Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.​

Attachments
Created at 12/13/2022 10:24 AM by Info Jabatan Belia Dan Sukan
Last modified at 12/13/2022 10:33 AM by Info Jabatan Belia Dan Sukan