Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

06.12.2022 | Majlis Doa Kesyukuran Bersempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2022

ND5_6924.jpg

ND5_6951.jpg 

ND5_6967.jpg

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 12 Jamadilawal 1444H/06 Disember 2022M. – Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan mengadakan Kempen Hari Bertindak Sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2022 yang bertemakan Solidarity Through Volunteering (Perpaduan Melalui Kerja Sukarela) bermula pada 11 Disember 2022 hingga 31 Januari 2023.

Hari Sukarelawan Antarabangsa adalah mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diadakan pada 5 Disember setiap tahun. Hari Sukarelawan Antarabangsa dilihat sebagai peluang unik untuk sukarelawan dan organisasi meraikan usaha mereka, berkongsi dan mempromosi kerja mereka serta menyumbang kepada keamanan dengan menyokong pengiktirafan sukarelawan dalam program pembangunan.

Bersempena dengan sambutan tersebut, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2022 bertempat di Masjid Ash-Shaliheen.

Hadir ialah Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat majlis.

Aturcara majlis dimulakan dengan Selawat Tafrijiyah dipimpin oleh Yang Mulia Haji Md Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash-Shaliheen, diikuti dengan tazkirah yang bertajuk 'Perpaduan Melalui Kerja-Kerja Sukarela' disampaikan oleh Yang Mulia Awang Fariszal bin Ali, Penolong Kaunselor, Jabatan Penjara dan diselajurkan dengan bacaan Doa Kesyukuran, Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan Doa Menghindari Wabak COVID-19. Majlis diakhiri dengan Sembahyang Fardhu Asar Berjemaah.

Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Ketua-Ketua Jabatan; Persatuan dan Pergerakan Belia; Belia-Belia Masjid; Alumni Program-Program Kebangsaan dan Antarabangsa; Penuntut-Penuntut Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE); Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Kempen Hari Bertindak Sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2022; dan belia individu serta orang ramai.

Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa ini bertujuan untuk menyediakan platform untuk mengumpulkan masyarakat Negara Brunei Darussalam dalam pembangunan semangat kesukarelawanan, serta menjadi lambang perpaduan dan usaha di pelbagai peringkat masyarakat menuju ke arah perubahan melalui pendekatan bersama dan bekerjasama.

Antara lain objektif utama sambutan adalah untuk mengadakan Kempen Hari Bertindak bagi mengumpul dan memantau program kesukarelawanan disamping mengadakan jerayawara untuk memberi kefahaman tentang konsep kesukarelawanan dan memberi penghargaan kepada sukarelawan dan organisasi yang aktif dalam kerja sukarela.

Kempen Hari Bertindak pada tahun ini mempunyai sembilan kluster program iaitu (1) Hak Asasi Haiwan; (2) Seni dan Budaya; (3) Masyarakat; (4) Bencana Alam; (5) Pendidikan; (6) Inisiatif Hijau; (7) Keusahawanan Sosial; (8) Kerohanian dan Keugamaan; dan (9) Pembangunan Belia.

Lebih 30 aktiviti telah disusun setakat ini bagi Kempen Hari Bertindak 2022 seluruh negara dengan melibatkan lebih daripada 25 agensi-agensi dari pelbagai pihak. Sebarang maklumat mengenai aktiviti-aktiviti Kempen Hari Bertindak boleh diperolehi melalui aplikasi Mengalinga serta Instagram @jbs.bn dan @dayofaction.brunei. 

Attachments
Created at 12/10/2022 11:42 AM by Info Jabatan Belia Dan Sukan
Last modified at 12/10/2022 2:34 PM by Info Jabatan Belia Dan Sukan