Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

24.11.2022 | Majlis Penyampaian Sijil Kursus Kepimpinan Pergerakan Belia 2022: Pengurusan Projek Belia Daerah Tutong

500_9468.jpg

500_9495.jpg 

500_9522.jpg 

500_9558.jpg 

500_9577.jpg

TUTONG, Khamis, 29 Rabiulakhir 1444H/24 November 2022M. – Kursus Kepimpinan Pergerakan Belia 2022: Pengurusan Projek Belia anjuran Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Society for Community, Outreach & Training (SCOT) selaku Rakan Strategik yang berlangsung selama dua hari di Pusat Belia, Daerah Tutong bermula pada 23 dan 24 November 2022 diakhiri dengan Majlis Penyampaian Sijil. 

Seramai 24 orang belia, 16 lelaki dan 8 perempuan berumur di antara 18 hingga 35 tahun telah menyertai kursus pada sesi kedua ini. Para peserta terdiri daripada belia-belia yang bergiat aktif di dalam pergerakan dan persatuan belia di Daerah Tutong dan Daerah Belait sama ada kelab belia, kumpulan belia masjid, belia Majlis Perundingan Kampung (MPK), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan usahawan sosial. 

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil-sijil kepada para peserta ialah Yang Mulia Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan. 

Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Ajmin bin Haji Meludin, Penolong Pegawai Daerah, Jabatan Daerah Tutong. 

Majlis terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Mohammad Hazwan Nizam bin Ibrahim, Penolong Exco Biro Pendidikan Pergerakan Belia IMPAK Tutong, diikuti dengan pembentangan kertas kerja oleh peserta-peserta mengikut kumpulan masing-masing dan diselajurkan dengan penyampaian sijil-sijil penyertaan kepada setiap peserta kursus. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat. 

Pada tahun ini, sebagai salah satu inisiatif bagi menggerak dan mengaktifkan persatuan dan pergerakan belia, Kursus Kepimpinan Pergerakan Belia buat julung-julung kalinya mengetengahkan pengenalan asas pengurusan projek belia yang diadakan sebanyak dua sesi iaitu sesi pertama bagi belia Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong pada 9 dan 10 November 2022 bertempat di Pusat Belia, Daerah Temburong dan sesi kedua bagi belia Daerah Tutong dan Daerah Belait pada 23 dan 24 November 2022 di Pusat Belia, Daerah Tutong. 

Objektif kursus diadakan adalah untuk memberikan ilmu pengetahuan asas dalam pengurusan projek khususnya dalam membuat kertas kerja, peruntukan, garis masa dan laporan, di samping membentuk belia menjadi penggerak dan pelaksana projek yang baik dan teratur serta meningkatkan kebolehan belia untuk bekerja secara berkumpulan. 

Dengan bimbingan, dorongan dan latihan yang diberikan melalui kursus ini, pihak jabatan berharap ianya dapat membantu dan seterusnya menyuntik semangat para belia untuk terus bergiat aktif dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dengan teratur dan bersistematik di samping bergerak rapat dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku rakan strategik dalam membangun dan memperkasa belia di negara ini khususnya dalam mencapai matlamat Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035.

Attachments
Created at 12/7/2022 2:39 PM by Info Jabatan Belia Dan Sukan
Last modified at 12/10/2022 2:38 PM by Info Jabatan Belia Dan Sukan