Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

10.11.2022 | Majlis Penyampaian Sijil Kursus Kepimpinan Pergerakan Belia 2022: Pengurusan Projek Belia Daerah Temburong

500_8558.jpg

500_8572.jpg 

500_8585.jpg 

500_8597.jpg 

500_8619.jpg 

500_8650.jpg

TEMBURONG, Khamis, 15 Rabiulakhir 1444H/10 November 2022M. – Jabatan Belia dan Sukan telah mengadakan Kursus Kepimpinan Pergerakan Belia 2022: Pengurusan Projek Belia selama dua hari bermula pada 9 dan 10 November 2022 bertempat di Pusat Belia, Daerah Temburong. Turut menjayakan kursus ini selaku Rakan Strategik ialah Persatuan Society for Community, Outreach & Training (SCOT).

Berikutan itu, Majlis Penyampaian Sijil Kursus Kepimpinan Pergerakan Belia 2022: Pengurusan Projek Belia telah diadakan pada petang ini. Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Yang Mulia Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, Pengarah Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awangku Muhd Haziq bin Pengiran Haji Muhd Japar, belia dari Majlis AIDS dan diikuti dengan pembentangan kertas kerja oleh para peserta mengikut kumpulan masing-masing. Tetamu kehormat telah menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta kursus dan cenderamata kepada Persatuan SCOT. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan diselajurkan dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

Kursus Kepimpinan Pergerakan Belia merupakan program tahunan yang dijalankan oleh Jabatan Belia dan Sukan bermula pada tahun 2019. Sebanyak 4 kali kursus tersebut telah diadakan dengan kerjasama Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD) dengan tujuan untuk meningkatkan kebolehan kepimpinan yang sedia ada dalam diri belia melalui experiential learning di OBBD.

Pada tahun ini, sebagai salah satu inisiatif bagi menggerak dan mengaktifkan persatuan dan pergerakan belia, Kursus Kepimpinan Pergerakan Belia buat julung-julung kalinya mengetengahkan pengenalan asas pengurusan projek belia yang diadakan sebanyak dua sesi iaitu sesi pertama bagi belia Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong pada 9 dan 10 November 2022 bertempat di Pusat Belia, Daerah Temburong dan sesi kedua bagi belia Daerah Tutong dan Daerah Belait pada 23 dan 24 November 2022 nanti di Pusat Belia, Daerah Tutong.

Antara lain objektif kursus diadakan adalah untuk memberikan ilmu pengetahuan asas dalam pengurusan projek khususnya dalam membuat kertas kerja, peruntukan, garis masa dan laporan, di samping membentuk belia menjadi penggerak dan pelaksana projek yang baik dan teratur serta meningkatkan kebolehan belia untuk bekerja secara berkumpulan.

Seramai 26 orang belia, 13 lelaki dan 13 perempuan berumur di antara 18 hingga 35 tahun telah menyertai kursus pada sesi pertama yang mana keutamaan diberikan kepada belia yang bergiat aktif di dalam pergerakan belia sama ada persatuan belia, kelab belia, kumpulan belia masjid, belia Majlis Perundingan Kampung (MPK), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan usahawan sosial.

Dengan bimbingan, dorongan dan latihan yang diberikan melalui kursus ini, pihak jabatan berharap ianya dapat membantu dan seterusnya menyuntik semangat para belia untuk terus bergiat aktif dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dengan teratur dan bersistematik di samping bergerak rapat dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku rakan strategik dalam membangun dan memperkasa belia di negara ini khususnya dalam mencapai matlamat Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035.​

Attachments
Created at 12/7/2022 1:52 PM by Info Jabatan Belia Dan Sukan
Last modified at 12/8/2022 11:26 AM by Info Jabatan Belia Dan Sukan