Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

05.12.2020 | Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1442H/2020M Peringkat Akhir

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 03 Disember. – Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan (MTQBK) merupakan program anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang telah mula dilaksanakan sejak dari tahun 1980-an dan berjaya melahirkan ramai qari dan qariah belia yang berkaliber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Di samping itu, ianya juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau tarannum.

Sehubungan dengan itu, Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1442H/2020M Peringkat Akhir telah diadakan bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Afif bin Dato Seri Setia Dr. Haji Japar, Pegawai Hal Ehwal Masjid yang juga membacakan Doa Selamat di akhir majlis.  Majlis kemudiannya diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Zainab binti Haji Morshidi, Pemangku Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan selaku Pengerusi Majlis dan diteruskan dengan ucapan oleh tetamu kehormat majlis.

Seramai lima qari (termasuk Johan Menunggu Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 2019) dan tiga qariah telah memperdengarkan bacaan masing-masing di peringkat akhir tersebut.

Majlis turut menyaksikan persembahan tausyeh belia dari Kumpulan Az Zayyan dan Gabungan Qari-Qari Belia dan diikuti dengan pengumuman keputusan musabaqah yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit selaku Pengerusi Jemaah Hakim.

Tetamu kehormat majlis telah menyempurnakan penyampaian hadiah, cenderamata dan sijil penyertaan kepada para pemenang musabaqah.

Qari, Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri dan Qariah, Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri, masing-masing dinobatkan johan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan (MTQBK) 1442 Hijrah / 2020 Masihi Peringkat Akhir.

Johan qari yang memperoleh markah 90.38 peratus dan qariah, 92.5 peratus, masing-masing menerima piala pusingan, piala iringan, wang tunai BND2,000 dan sijil penyertaan.

Tempat kedua qari dan qariah, dimenangi oleh Awang Afiq Haririe bin Haji Awang Mat Daud, dan Dayang Najla Sabreena binti Haji Abdul Rajid, di mana masing-masing membawa pulang piala iringan, wang tunai BND1,500 dan sijil penyertaan.

Manakala, qari, Awang Haji Hazwan bin Haji Salim dan qariah, Dayangku Nurul Sakinah Adawiyah binti Pengiran Ainolazahar meraih tempat ketiga dan menerima piala iringan, wang tunai BND1,000 juga sijil penyertaan setiap seorang.

Manakala setiap peserta qari juga qariah lainnya turut menerima hadiah saguhati, iaitu piala iringan, wang tunai BND500 dan sijil penyertaan.

Seramai 77 penyertaan dari keempat-empat daerah telah pun diterima pada tahun ini.

MTQBK ini menyasarkan belia-belia yang berumur di antara 15 hingga 30 tahun. Di antara tujuan musabaqah ini diadakan adalah bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1996M pada 1 Jamadilakhir 1417 bersamaan 13 Oktober 1996. Di antara lain titah Baginda:-

"Hasrat kita yang tunggal ialah melihat generasi Al-Quran itu dikongsi sama oleh semua pihak dan golongan, terutama golongan belia. Kita akan merasa bangga dengan lahirnya belia-belia yang berwatak salih. Bahawa salah satu tanda kesalihan itu ialah terlibatnya mereka dengan Al-Quran samada keterlibatan itu selaku pembaca biasa, mahupun sekaligus menjadi penghayat dan pengamal ajaran-ajarannya".

Selain untuk MTQBK ini sebagai wadah bagi melahirkan qari dan qariah belia yang berpotensi tinggi sebagai pelapis qari dan qariah Negara Brunei Darussalam, ianya juga untuk mempertingkatkan mutu pembacaan Al-Quran di kalangan belia serta memupuk dan menyemai rasa persahabatan di kalangan peserta belia melalui program keugamaan. MTQBK ini juga bagi persediaan pemilihan wakil negara ke Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

_UPA0384.jpg

_UPA0415.jpg

_UPA0443.jpg

_UPA0465.jpg

_UPA0498.jpg

_UPA0479.jpg

_UPA0552.jpg

_UPA0576.jpg

ND5_5224.jpg

ND5_5238.jpg

ND5_5288.jpg

ND5_5364.jpg

ND5_5376.jpg

ND5_5389.jpg

Attachments
Created at 12/4/2020 11:16 PM by Hj Muhammad Syazwan Bin Hj Abd Jalil
Last modified at 12/8/2020 3:04 PM by Hj Muhammad Syazwan Bin Hj Abd Jalil