Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

01.03.2020 | Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2020

02 01032020.jpg

Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2020 bukan sahaja menggabungkan aspek gaya hidup sihat dan rekreasi, malah menyatupadukan negara melalui penghayatan budaya sukan dan penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus pada pewujudan warga sihat, di mana adalah penting ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

 


Walaupun dalam keadaan cuaca yang panas terik, namun suasana di ibu negara bertambah meriah dengan ribuan pengunjung dari segenap lapisan masyarakat di negara ini yang sama-sama menyertai acara riadah tersebut bagi menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36 tahun ini.

 


Acara tersebut bertambah berseri apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyertai acara Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2020 yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di sini.

 


Berangkat sama ialah anakanda-anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

 


Keberangkatan tiba Kebawah DYMM berserta kerabat diraja yang lain di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dijunjung oleh Menteri-menteri Kabinet yang diketuai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

 


Sejurus keberangkatan, Kebawah DYMM dijunjung bagi menandatangani bingkai jersi khas sempena Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2020, diiringi dengan persembahan koir dan muzik dari 'band' kadet.

 


Sebaik sahaja air horn dibunyikan, baginda kemudian berkenan mendahului riadah berbasikal mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 11.50 kilometer yang turut disertai oleh Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, para jemputan dan orang ramai termasuk warga asing.

 


Antara jalan-jalan utama yang dilalui ialah Jalan Pretty, Jalan Elizabeth 2, Jalan Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Jalan Kianggeh, Jalan Sekolah, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Gadong, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.

 


Selepas Riadah Berbasikal, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja kemudiannya berkenan menyaksikan perbarisan lalu daripada seramai 36 orang pekayuh basikal dari keempat-empat daerah yang berjaya mengelilingi 36 kilometer yang berlepas sejak pukul 6.30 pagi dan diiringi dengan persembahan padang oleh Program Khidmat Bakti Negara (PKBN). Pada majlis itu, Kebawah DYMM berkenan menerima pesambah yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 


Selain berbasikal, Baginda dan kerabat diraja turut berkenan menyaksikan secara lebih dekat lagi kemeriahan Bandarku Ceria yang diadakan di persekitaran taman tersebut dengan pelbagai aktiviti, pameran dan persembahan yang disediakan oleh 13 buah kementerian, Persatuan- persatuan Belia dan Sukan Kebangsaan, PKBN dan Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA 2019 di Filipina.

 


Selain itu, agensi-agensi swasta juga mengadakan aktiviti-aktiviti seperti Permainan Interaktif Literasi Kewangan; Bike Balancing Challenge, Workout Challenge dan Mini Obstacle Race; Memperkenalkan aktiviti Aplikasi Tyran Maton yang merupakan aplikasi mengatasi kes buli; aktiviti Cup Stacker, Goal Ball dan Flying Disc; Program Pemeriksaan Kesihatan, Ketahui Usus Anda dan Pameran COVID-19; Aktiviti Bijak Jawi; Pameran Food Safety dan Brunei GAP (Industri Tanaman); Pameran dan Kuiz Biodiversiti dan Kepentingan Hutan; Pameran Poni Divers; Promosi Pertandingan Anugerah ICT Brunei dan Produk-produk Inovatif ICT Tempatan sebagai komponen revolusi industri 4.0; Aktiviti Safety Health Environment National Authority (SHENA); Permainan Kikik; Frisbee Showcase Game; Parkour Showcase; Aktiviti Seni Suara Burung; Permainan Paintball dan Archery serta sebagainya.

 


Para peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang sudah seperti biasanya berniaga di Bandarku Ceria setentunya tidak melepaskan peluang untuk berjaja pada hari tersebut.

 


Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2020 dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama-sama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta penglibatan semua kementerian-kementerian yang lain serta Persekutuan Basikal Brunei Darussalam.

 


Kejayaan acara tersebut sudah setentunya lebih bermakna dengan penglibatan aktif daripada semua pihak melalui pendekatan Whole of Government and Nation yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat termasuk pihak bukan kerajaan atau NGO's dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan dalam menjayakan riadah berbasikal ini.


























Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 3/3/2020 7:06 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 3/3/2020 7:06 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli