Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

22.02.2020 | PBCTA bergotong-royong bersama MPK Bunut Perpindahan

Program Belia Cinta Tanah Air (PBCTA) Kali Ke-15 bagi Tahun 2020 yang disertai seramai 42 peserta yang terdiri daripada 20 belia lelaki dan 22 belia perempuan dari keempat-empat daerah, diteruskan lagi pada hari ini dengan mengadakan aktiviti bergotong-royong bersama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bunut Perpindahan.

 

PBCTA yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, mula diperkenalkan pada tahun 2006 dan setelah 14 tahun, program tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.


Sepanjang perjalanan yang bermula dari Pusat Belia, rombongan PBCTA diiringi oleh Persatuan Pemilik-pemilik Motorsikal Harley Davidson Brunei Chapter (HOGB Chapter) yang membawa bendera Negara Brunei Darussalam.


Sejurus tiba di Masjid Kampung Bunut, rombongan berjalan kaki sambil mengibarkan bendera-bendera kecil menuju ke Rumah Ikatan Persatuan Belia Bunut (IKERAB).

 

Rombongan dialu-alukan oleh Penasihat MPK dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Bunut, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin selaku tetamu kehormat majlis, Penasihat MPK, Kolonel (B) Pengiran Dato Paduka Haji Rosli bin Pengiran Haji Chuchu dan Pemangku Ketua Kampung Bunut Perpindahan, Awang Haji Durahim bin Hassan.

 

Para peserta program kemudian diperdengarkan taklimat ringkas mengenai sejarah Kampung Bunut Perpindahan yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Bunut, Awang Haji Md. Som bin Haji Aji.

 

Rombongan seterusnya bergerak ke Makam Di Luba bagi aktiviti bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan dan bertahlil.


Pemangku Ketua Kampung Bunut Perpindahan, Awang Haji Durahim ketika ditemui Pelita Brunei menyatakan, aktiviti seumpamanya sangat bagus untuk para belia melibatkan diri supaya mereka akan terbiasa untuk bekerjasama dan bantu-membantu.

 

"Program ini adalah sesuai dengan tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam iaitu 'Menjayakan Wawasan Negara' di mana para belia ini memainkan peranan yang penting dalam memajukan negara," katanya.

 

PBCTA dilaksanakan dengan harapan melahirkan lebih ramai lagi belia yang berjiwa patriotik, cinta kepada negara, berwawasan dan menghargai keperibadian bangsa.

 

Melalui program tersebut, ia diharap dapat dijadikan sebagai satu mekanisme dalam membimbing para belia untuk melaksanakan kegiatan-kegiatan yang bersifat kenegaraan dan kemasyarakatan dengan harapan dapat memberi impak patriotik dalam kalangan belia sekali gus meningkatkan lagi semangat patriotik serta membangun keluhuran jasmani dan rohani supaya menjadi lebih tabah serta berfikiran terbuka dalam menghadapi apa jua cabaran ke arah melahirkan generasi belia berwawasan.

 

PBCTA dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan serta beberapa agensi lain yang terlibat iaitu Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Persatuan Kemajuan Insan (KESAN), Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT) dan Belia Da'ie Brunei.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 2/25/2020 11:51 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 2/25/2020 11:51 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli