Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

21.02.2020 | PBCTA tingkat semangat patriotik

Program Belia Cinta Tanah Air (PBCTA) dilaksanakan dengan harapan melahirkan lebih ramai lagi belia yang berjiwa patriotik, cinta kepada negara, berwawasan dan menghargai keperibadian bangsa.

Salah satu daripada pengisian PBCTA kali ke-15 bagi tahun 2020 ialah Eksplorasi Calak Brunei yang diadakan di Pusat Belia di ibu negara.

 

Sehubungan itu, aktiviti Treasure Hunt bersama Alumni PBCTA diadakan pagi tadi di kawasan Pusat Belia dan Tamu Kianggeh yang disertai oleh 42 orang peserta terdiri daripada belia persendirian, belia masjid, belia Majlis Perundingan Kampung (MPK), lepasan penuntut 'A' Level, mahasiswa dan mahasiswi Institut Pengajian Tinggi yang berumur di antara 18 hingga 30 tahun dari keempat-empat daerah.


Antara tujuan aktiviti Treasure Hunt tersebut ialah agar para peserta mengenali makanan-makanan dan barang-barang tempatan yang terdapat di Tamu Kianggeh, di samping itu boleh meningkatkan semangat setia kawan, bergotong-royong dan saling bantu-membantu di antara satu sama lain.

 

Sementara itu, pada sebelah petang, para peserta mengadakan lawatan ke Muzium Teknologi Melayu di Kampung Kota Batu. Semasa lawatan tersebut, para peserta PBCTA telah dibawa melawat ke beberapa buah galeri termasuk Galeri 1 yang mempamerkan Rumah Tradisi Kampong Ayer, Galeri 2 yang mempamerkan Teknologi Tradisi di Kampong Ayer dan Galeri 3 yang mempamerkan Teknologi Tradisi Masyarakat Tempatan di Kawasan Darat.

 

Muzium Teknologi Melayu yang dibuka rasmi pada 29 Februari 1988 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, mempamerkan pelbagai jenis teknologi yang digunakan oleh penduduk tempatan di negara ini dan teknologi-teknologi tradisi yang digunakan oleh penduduk di Kampong Ayer serta masyarakat yang tinggal di kawasan darat.


Dalam temu bual Pelita Brunei bersama Dayang Nur Batrisyia binti Zainudin, 25, lepasan graduan Universiti Al-Azhar, Mesir berkata, dengan menyertai PBCTA, beliau dapat mengenali semula dan menyumbang bakti kepada Negara Brunei Darussalam setelah lima tahun belajar di luar negara.


Tambahnya, setakat ini banyak pengisian yang penting dan bermanfaat telah diperolehi serta pendedahan tentang Wawasan Negara 2035 dan mempelajari mengenai Negara Brunei Darussalam untuk kemahiran kepimpinan diri.


Beliau seterusnya menyarankan para belia yang lain untuk menyertai program-program yang menjurus kepada pembangunan belia yang mampan seperti ini kerana banyak manfaat yang boleh mereka perolehi.


PBCTA yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, mula diperkenalkan pada tahun 2006 dan setelah 14 tahun, program tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.

 

Melalui program tersebut, ia diharap dapat dijadikan sebagai satu mekanisme dalam membimbing para belia untuk melaksanakan kegiatan-kegiatan yang bersifat kenegaraan dan kemasyarakatan dengan harapan dapat memberi impak patriotik dalam kalangan belia sekali gus meningkatkan lagi semangat patriotik serta membangun keluhuran jasmani dan rohani supaya menjadi lebih tabah serta berfikiran terbuka dalam menghadapi apa jua cabaran ke arah melahirkan generasi belia berwawasan.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 2/25/2020 11:35 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 2/25/2020 11:35 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli