Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

21.02.2020 | Wira Fajar, terapkan nilai akhlak belia

Negara telah banyak menyumbang kepada rakyat dan sudah setentunya, kita selaku rakyat perlu menyumbang kembali kepada negara. Al-Quran sendiri telah mengajarkan kita untuk membalas perbuatan baik itu dengan perbuatan yang baik.


Kita perlu menghayati makna sebenar erti kemerdekaan itu baharulah kita akan sedar akan betapa besarnya nikmat kemerdekaan yang Allah Subhanahu Wata'ala kurniakan kepada negara kita.


Perkara itu ditekankan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sallehuddin semasa menyampaikan Tazkirah Subuh bertajuk 'Untuk Mu Darussalam' serta mementingkan peranan belia sebagai golongan yang semestinya diberikan penghayatan tentang nilai kemerdekaan yang kita kecapi, kerana mereka aset penting dalam mempertahankan dan memajukan negara.

 

"Sentiasa kembali kepada Allah dalam apa jua tindak tanduk yang kita lakukan, terutama dalam menerajui negara, kerana dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah lah akan dibukakan segala pintu-pintu keberkatan dari langit dan bumi," jelasnya semasa Wira Fajar Program Belia Sembahyang Fardhu Subuh Berjemaah di Masjid Kampung Lumapas.


Program tersebut turut dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin. Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Kahfi yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Lumapas, Awang Haji Ahmad bin Haji Hasan yang juga turut mengimamkan bagi Sembahyang Sunat Duha.


Majlis diakhiri dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah bagi memohon kelancaran Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020.


Seramai lebih 600 orang terdiri daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Lumapas, Pegawai-pegawai Kerajaan, Persatuan-persatuan Belia, Belia-belia Masjid, Belia-belia dari sektor kerajaan dan swasta serta penduduk sekitar Kampung Lumapas menghadiri program tersebut.


Wira Fajar Program Belia Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah Di Masjid ini bertujuan untuk mendidik diri para belia untuk mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid serta memberikan pendedahan kepada para belia dengan mengisi aktiviti yang bermanfaat terutama sekali dalam mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid-masjid.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 2/25/2020 11:31 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 2/25/2020 11:31 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli