Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

8.02.2020 | 12 belia sertai JENESYS di Tokyo, Jepun

Seramai 12 perwakilan belia yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi daripada Institusi Pengajian Tinggi di negara ini telah berlepas ke Tokyo, Jepun bagi menyertai JENESYS 2019 Inbound Program Students Conference yang akan diadakan selama sepuluh hari bermula 9 hingga 18 Februari 2020.


Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada perwakilan belia tersebut, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat.

Ketua Delegasi, Abdul Waaliummul Fadzl bin Haji Wahab semasa ditemu bual melahirkan rasa berbesar hati kerana terpilih sebagai wakil negara untuk menghadiri persidangan berkenaan dan akan memanfaatkan peluang berkenaan untuk mendapatkan ilmu-ilmu melalui perkongsian bersama belia-belia daripada negara yang lain.


Beliau turut berharap rakan-rakan delegasi yang lainnya akan dapat sama-sama mendapatkan pelbagai idea-idea baru untuk dibawa balik ke Brunei bagi sama-sama membantu memajukan negara.


Selain daripada itu, Abdul Waaliummul Fadzl turut menyatakan mereka juga akan berusaha sedaya upaya untuk mempromosikan Negara Brunei Darussalam kepada belia-belia yang menghadiri persidangan itu nanti.


JENESYS merupakan sebuah program pertukaran belia yang dianjurkan dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Jepun sejak tahun 2007 untuk menjalinkan hubungan dua hala dan persahabatan, di samping mempromosi nilai-nilai budaya, adat resam dan memahami cara hidup masyarakat Jepun.

 

Program tersebut antara lain bertujuan untuk mempromosikan persefahaman di kalangan rakyat dan penduduk Jepun dan rantau Asia-Pasifik serta membina asas persahabatan dan kerjasama bagi masa hadapan. Program tersebut juga dapat menggalakkan pemahaman mengenai ekonomi, masyarakat, sejarah, kepelbagaian budaya, politik dan hubungan diplomatik Jepun.

 

Para peserta ini nanti akan dibahagikan kepada lima kumpulan mengikut tema yang telah disediakan oleh pihak penganjur iaitu Over Tourism and Sustainable Tourism Development, Foreign Workers, Quality Education, Food Loss dan Awareness of Disaster Mitigation.


Mereka juga akan berpeluang untuk membuat lawatan ke Tokyo, Kyoto, Aichi, Osaka dan Miyagi dimana kumpulan-kumpulan tersebut akan mengikuti beberapa aktiviti seperti mengikuti bengkel dan mendengarkan taklimat mengenai tema yang telah ditetapkan, membuat kunjungan hormat kepada Kementerian Luar Negeri Jepun, membuat lawatan ke tempat-tempat menarik dan bersejarah di Jepun.

Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 2/19/2020 12:45 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 2/19/2020 12:46 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli