MINDA
Youth Movement dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Cawangan Daerah
Belait dan Da'im Event Management Services di atas sokongan daripada
Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan buat julung kalinya menganjurkan
"Fiesta Belia Belait" yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Jabatan Belia
dan Sukan, Daerah Belait.
Pelancaran
fiesta tersebut disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan,
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin
Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin
selaku Tetamu Kehormat Majlis.
Antara
objektif Fiesta Belia Belait diadakan adalah untuk memperkenalkan MINDA
Youth Movement kepada masyarakat tentang kewujudan agensi tersebut
dalam membantu para belia di Daerah Belait untuk tampil bergiat aktif
sejajar dengan hasrat kerajaan.
Di
samping itu, memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha kecil dan
sederhana tempatan berkecimpung dalam bidang keusahawanan di samping
meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Sebanyak
40 petak disediakan bagi pengusaha-pengusaha yang menjual pelbagai
jenis barangan terdiri dari pakaian,aksesori, makanan dan sebagainya.
Para peniaga terdiri daripada mereka yang tinggal di Daerah Belait dan juga dari daerah-daerah lain.
Fiesta
tersebut dianjurkan selama dua hari berturut-turut bermula hari ini
yang dibukakan dari jam 4.30 petang hingga 10:00 malam dan esok, bermula
jam 8:00 pagi hingga 8:00 malam.
Di sepanjang fiesta ini dijalankan, pelbagai aktiviti telah diadakan bagi memeriahkan lagi suasana fiesta tersebut.
Sumber: Pelita Brunei