Duli Yang
Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara
Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali
Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam (BDNOC) berkenan berangkat ke Mesyuarat Post
Mortem Kejohanan Sukan SEA Ke-30 di Republik Filipina.
Keberangkatan
Duli Yang Teramat Mulia di Stadium Negara Hassanal Bolkiah (SNHB), di
sini, dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat
Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang
Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Acara
dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, dipimpin oleh
Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri
Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.
Pada
mesyuarat yang berlangsung di Dewan Kuliah, SNHB, Yang Berhormat
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam sembah alu-aluannya
menyembahkan bahawa keberangkatan DYTM secara berterusan, di samping
dukungan dan sokongan DYTM mempunyai nilai yang amat tinggi,
mencerminkan keprihatinan dan kesungguhan DYTM yang amat mendalam dalam
usaha untuk terus memajukan sukan secara bermakna di Negara Brunei
Darussalam.
Menurut
Yang Berhormat, dengan adanya mesyuarat Post-Mortem itu, para kontinjen
akan diberikan landasan untuk terus meningkatkan kejayaan yang sudah
dicapai, sekali gus memajukan prestasi mereka secara khasnya dan sukan
negara secara amnya, terutamanya dalam temasya sukan yang akan datang.
Oleh
yang demikian, Yang Berhormat berkata, akan terus komited untuk
menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa kejayaan yang
dikecapi ini boleh dijadikan kayu ukur demi untuk terus membangun dan
menentukan tahap kejayaan yang lebih tinggi pada masa yang akan datang.
Sementara
itu, dalam sembah Laporan Kontinjen Kejohanan Sukan SEA Ke-30, yang
disampaikan oleh Chef de Mission, Awang Haji Muhd. Zamri bin Dato Paduka
Haji Hamdani, antara lain mengongsikan analisa pencapaian kontinjen
negara, di mana penyertaan atlet buat kali pertama, seramai 46 orang,
iaitu 47 peratus, manakala atlet yang pernah menyertai Sukan SEA seramai
41 orang, iaitu 53 peratus.
Awang
Haji Muhd. Zamri seterusnya menyembahkan seramai 39 atlet, iaitu
sebanyak 45 peratus adalah berumur 21 tahun ke bawah dan 55 atlet
berumur 21 tahun ke atas, iaitu sebanyak 55 peratus.
Penyertaan atlet lelaki pula jelasnya, seramai 57 orang, iaitu 66 peratus dan atlet wanita seramai 30 orang, iaitu 34 peratus.
Tambahnya
lagi, atlet baharu yang menyumbang pingat seramai 15 orang, iaitu 17
peratus, atlet lama seramai 21 orang, iaitu 24 peratus dan atlet yang
belum mencapai pingat seramai 48 orang, iaitu 59 peratus.
Kontinjen
negara menyertai sebanyak 14 acara sukan, bermula pada 30 November
hingga 11 Disember 2019 lalu, iaitu Aquatics; Athletics; Billiards;
Golf; Fencing; Bola Sepak; Karatedo; Boling Padang; Bola Jaring; Pencak
Silat; Polo; Tekwando; Tenpin Boling; dan Wushu.