Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

22.01.2020 | Latihan bersistematik, jurulatih berbakat mampu tingkat prestasi permainan

Pasukan Bola Jaring Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Royal Bees tidak akan mencapai tiga pingat gangsa dalam Kejohanan Sukan SEA sejak tahun 2015, tanpa pemain-pemain yang sentiasa bekerja keras dan berdedikasi, pengurusan menyeluruh daripada Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei (BNA) serta kepakaran bimbingan daripada jurulatih yang diberikan kepada pasukan tersebut.

 

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah selaku Ketua Pasukan Bola Jaring Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Royal Bees bersabda demikian pada Mesyuarat Post Mortem Kejohanan Sukan SEA Ke-30, Republik Filipina, di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

 

Dalam sabda Yang Teramat Mulia yang dibacakan oleh Penolong Ketua Pasukan, Dayangku Khalisha binti Pengiran Haji Abdul Rahman, sukan bola jaring merupakan sukan yang semakin berkembang di negara ini dan sepuluh tahun lalu pasukan kebangsaan tidak bersaing di peringkat serantau atau antarabangsa apatah lagi dalam kejohanan berkontinjen seperti Sukan SEA.

 

Tambahnya, dengan jurulatih yang betul dan rejim latihan yang sangat baik, Royal Bees menjalani perjalanan hebat bersama jurulatih-jurulatih terdahulu dan masa kini, di mana tidak boleh diabaikan kerana mereka perlu berusaha untuk meningkatkan kualiti bola jaring tempatan.


Dengan cara latihan yang sistematik dan tepat ujarnya, ia akan dapat memberikan inspirasi kepada para pemain bola jaring bertahap tinggi untuk meningkatkan prestasi mereka.

 

Menurutnya, pembangunan asas bola jaring yang baik diperlukan di Brunei dengan menghasilkan lebih banyak pemain-pemain muda untuk bermain bola jaring secara aktif; dan menghasilkan jurulatih-jurulatih berkelayakan.

 

Beliau seterusnya menyarankan agar seorang jurulatih yang berkebolehan dan berbakat dalam bidang ini adalah diperlukan dan penting untuk memastikan keberlangsungan akar umbi bola jaring terus berkembang kerana generasi seterusnya akan mengambil alih juga bermain lebih baik daripada mereka.


Bagi Royal Bees tambahnya, tidak ada yang mudah tanpa dedikasi, disiplin dan semangat sebenar kerana untuk mengekalkan kecemerlangan adalah satu cabaran.


Sumber: Pelita Brunei 


Attachments
Created at 1/27/2020 10:46 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 1/27/2020 10:54 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar