Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

18.08.2019 | Majlis Resepsi raikan atlet Wushu Remaja Asia Ke-10

Sukan Wushu yang sememangnya sebagai sukan yang berkembang pesat dengan potensi yang besar di negara ini, perhimpunan atlet Wushu dari seluruh Asia bagi Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10 bukan sahaja berfungsi untuk membangunkan sukan ini lebih jauh lagi di Negara Brunei Darussalam dan Asia, malahan merupakan platform bagi semua untuk memupuk ikatan persefahaman antara satu sama lain sebagai satu keluarga besar.


Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berkata atlet Wushu berada di sini dengan tujuan yang sama iaitu untuk meneruskan legasi kerjasama dalam kemajuan sukan, sekali gus meningkatkan perpaduan antara budaya dan negara kita yang pelbagai.


Semasa berucap pada Majlis Resepsi bagi meraikan atlet Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10 bertempat di Serambi Suluh Kesenian, Bangunan Pusat Kesenian di ibu negara, Yang Berhormat melahirkan harapan agar para peserta, terutamanya atlet negara akan dapat bersaing dengan semangat muhibah dan bertanding secara adil antara satu sama lain dalam minggu yang akan datang.


Seramai 398 atlet bersama pegawai pengiring yang merangkumi 18 buah pasukan dari 16 buah negara di rantau Asia mengambil bahagian dalam Kejohanan Wusyu Remaja Asia Ke-10 bermula 16 hingga 24 Ogos bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.


Negara Brunei Darussalam diwakili oleh tujuh peserta lelaki dan enam peserta wanita berumur dari tujuh hingga 16 tahun.


Persekutuan Wushu Negara Brunei Darussalam (Wushu Federation of Brunei Darussalam – WUFBD) buat pertama kalinya menjadi hos bagi kejohanan berkenaan.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 8/19/2019 4:26 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 8/19/2019 4:26 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli