Belia
masa depan adalah belia yang holistik, bukan sahaja cemerlang dalam
pendidikan, sahsiah dan kerohanian tetapi juga belia yang berkemahiran,
inovatif dan kreatif sejajar dengan kepesatan kemajuan pelbagai bidang.
Sehubungan
itu, konsep Sambutan Hari Belia Kebangsaan tahun ini memfokuskan kepada
Keusahawanan dan Teknologi yang bertemakan ‘Belia Siaga Masa Depan’.
Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien
Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam bersama paduka-paduka anakanda dan adinda baginda berkenan
berangkat menyaksikan pameran tersebut.
Perhimpunan
Ramah Mesra Belia yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat
Persidangan Antarabangsa yang memfokuskan kepada empat kluster utama
iaitu ‘Pembangunan Lestari’; ‘Ekonomi Kreatif’; ‘Perusahaan Sosial’ dan
‘Kesukarelawanan’ yang disertai seramai 88 peserta dari
syarikat-syarikat swasta dan persatuan-persatuan NGOs.
Matlamat Pembangunan Lestari ialah pelan tindakan untuk mencapai masa depan yang baik dan mantap untuk semua.
Mereka
menangani cabaran global yang kita hadapi, termasuk yang berkaitan
dengan kemiskinan, ketidaksamaan, iklim, kemusnahan alam sekitar,
kemakmuran, keamanan serta keadilan.
Matlamat
tersebut berhubung kait dan untuk memastikan tiada seorang pun
ketinggalan, adalah penting bahawa kita mencapai setiap sasaran
menjelang tahun 2030.
Sementara,
Ekonomi Kreatif adalah sektor yang merangkumi aktiviti ekonomi
berasaskan pengetahuan yang terletak di persimpangan kreativiti manusia,
pengetahuan dan teknologi.
Ia merangkumi industri kreatif sejajar dengan buruh dan hasil pengeluaran.
Perkembangan
Ekonomi Kreatif yang tepat menghasilkan nilai komersial dan budaya yang
sepatutnya mempunyai potensi untuk menghasilkan pendapatan dan
pekerjaan.
Industri
Kreatif termasuk pengiklanan; seni bina; seni dan kraf; reka bentuk;
fesyen; video; fotografi; muzik; seni persembahan; penerbitan;
penyelidikan dan pembangunan; perisian; permainan komputer; penerbitan
elektronik dan televisyen / radio.
Dalam
temu bual Pelita Brunei bersama peserta Ekonomi Kreatif, Pengasas
Covered by Annisa (CbA), Dayang Nisa Masir menjelaskan Covered by Annisa
mula ditubuhkan sejak tahun 2014 yang menyediakan pakaian berkonsepkan
Muslimah.
“Kesemua
pakaian yang direka dan dijahit adalah hasil kerja anak tempatan
kitani, dan mereka ini mempunyai kelulusan dari Universiti Brunei
Darussalam dan sesetengah mereka ini juga merupakan ‘self-employed’ yang
mempunyai potensi yang tinggi dalam bidang rekaan dan jahitan,” jelas
beliau.
Tambahnya
lagi, konsep rekaan CbA berasaskan 3L iaitu Labuh, Laju, Lawa dan
semestinya rekaan fesyen mereka menepati ‘modest concept in syariah
compliance’ iaitu menutup aurat namun masih mengikuti trend rekaan
terkini yang cantik dan selesa.
Menyentuh
mengenai perancangan masa kini dan jangka panjang, CbA giat menyertai
pelbagai ekspo di luar negara antaranya di Malaysia, Singapura dan
Jakarta, Indonesia yang antara lain bertujuan untuk memasarkan hasil
produk keluaran mereka.
Menurutnya,
CbA kini mempunyai butiknya sendiri yang terletak di Citis Square dan
sambutan orang ramai adalah sangat menggalakkan lebih-lebih lagi dari
kalangan pelanggan tetap mereka yang sentiasa memberikan sokongan dan
dorongan di sepanjang usia CbA yang kini sudah mencecah lima tahun.
Dalam
pada itu, beliau turut menyarankan agar para belia di luar sana untuk
sentiasa berusaha mencuba dan menyahut hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia memenuhi sektor-sektor keusahawanan di negara kita
lebih-lebih lagi dalam sektor industri kreatif.
Sementara
Pengarah Game On, Awang Amar Dani bin Agus Din ketika ditemu bual
menjelaskan Game on ditubuhkan bagi mewujudkan pertandingan yang sihat
dalam kalangan komuniti permainan orang Brunei (Bruneian gaming
community).
Menurutnya,
Game On adalah syarikat e-sports terkemuka yang berpangkalan di Negara
Brunei Darussalam, yang memberi tumpuan kepada konsol dan permainan
mudah alih sejak tahun 2016.
Sehingga
kini, Game On telah menganjurkan lebih daripada 30 acara permainan,
dengan menyediakan tempat yang khusus untuk pertandingan permainan video
serta mengubah idea menjadi realiti menarik yang mewujudkan perpaduan
dan persaingan sihat bersama pemain yang lain.
Beliau
berharap untuk meneruskan acara permainan (gaming) berkenaan di masa
akan datang dan terus mendapatkan sokongan dari pelbagai agensi yang
berkenaan.
Menerusi
Perusahaan Sosial pula, perniagaan yang didorong oleh tujuan untuk
mewujudkan kesan positif dalam masyarakat iaitu memberi tumpuan kepada
kesan / impak sebelum keuntungan.
Kesan yang dimaksudkan ialah yang dapat menyelesaikan isu-isu dalam masyarakat berkaitan dengan alam sekitar serta ekonomi.
Manakala,
Kesukarelawanan pula secara amnya dianggap sebagai aktiviti altruistik
di mana individu atau kumpulan memberikan perkhidmatan tanpa menerima
keuntungan kewangan atau sosial.
Perhimpunan
Ramah Mesra Belia itu bertujuan untuk menghimpunkan usahawan belia yang
telah mencapai kecemerlangan dalam bidang keusahawanan serta usahawan
belia yang mempelopori industri-industri baharu untuk berkongsi kejayaan
dan pengalaman sesama mereka khususnya kepada para pengunjung.
Sumber : Pelita Brunei