Majlis
Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) Ke-14, 2019 menyaksikan penyampaian
Anugerah HBK 2019 kepada empat penerima dalam empat kategori pada
majlis yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan
Antarabangsa, Berakas.
Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien
Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam berkenan menyempurnakan penganugerahan tersebut.
Bagi
Kategori Anugerah Belia Cemerlang diraih oleh Dayang Hajah Noor
Monasalieana @ Suzie binti Haji Mohd Salleh, seorang usahawan dan
pengurus bagi tujuh buah syarikat tempatan di negara ini.
Anugerah
tersebut adalah sebagai pengiktirafan kepada belia atas jasa yang
cemerlang dalam kerja atau usaha-usaha yang ditunjukkan dalam mengangkat
nama negara dalam pelbagai bidang dan di peringkat antarabangsa.
Sementara
itu, penerima bagi Anugerah Belia Berkhidmat diberikan kepada Dayang
Dr. Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman yang merupakan Pengasas
dan Mentor kepada Kumpulan Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali,
Sengkurong.
Bagi
anugerah kategori ini, diberikan sebagai pengiktirafan dan penghargaan
kepada belia yang telah berkhidmat secara berterusan untuk masyarakat di
negara ini dalam pelbagai bidang selaras dengan matlamat Wawasan Negara
Brunei 2035.
Anugerah
Pemimpin Muda Belia pula diterima oleh Pengiran Salimatul Sa'ada binti
Pengiran Mohd Saleh, yang bertugas sebagai Pegawai Pelajaran di Sekolah
Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok dan merupakan Yang Di-Pertua
Persatuan Society For Community Outreach & Training (SCOT).
Anugerah
ini adalah sebagai pengiktirafan atas khidmat cemerlang yang telah
diberikan oleh pemimpin muda dalam memajukan organisasi atau persatuan
yang telah dipimpinnya secara berterusan, menanai dan merealisasikan
Wawasan Negara 2035.
Anugerah tersebut merupakan aspirasi dalam melahirkan pemimpin belia yang mandiri, berwibawa dan berwawasan.
Projek Dart daripada Dart Logistics Sdn. Bhd., pula memenangi bagi Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia.
Anugerah
ini diberikan bagi mengiktiraf projek-projek belia yang berjaya
diungkayahkan dalam memacu pembangunan masyarakat belia di pelbagai
bidang terutama dalam era peledakan Industri Revolusi 4.0.
Projek-projek
yang diungkayahkan adalah satu inovasi pembangunan dan kemajuan selaras
dengan aspirasi negara dan era ekonomi digital.
Penilaian
turut memfokuskan kepada projek yang berpotensi dalam mewujudkan
peluang pekerjaan, berkeupayaan membangun belia negara dan penggunaan
teknologi.
Para
penerima Anugerah HBK dalam Kategori Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat
dan Pemimpin Muda Belia masing-masing telah menerima sebuah trofi, kain
tenunan, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND3,000.
Manakala
dalam Kategori Projek Cemerlang Untuk Belia menerima sebuah trofi,
sijil penghargaan dan 'seed grant' sebanyak BND3,500.
Sumber : Pelita Brunei