Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan terus mempertingkatkan dan
mengukuhkan persefahaman juga kerjasama di antara agensi-agensi yang
terlibat dalam usaha pembangunan dan wasilah tarbiah belia juga
masyarakat dengan mempraktikkan Pendekatan Keseluruhan Negara.
Ini
adalah selaras dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam
titah-titah baginda yang menekankan perlunya belia untuk celik dan
berakhlak Al-Quran.
Perkara
tersebut dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang
Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin
Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pada
Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1440 Hijrah / 2019 Masihi
Peringkat Akhir, bertempat di Dewan Digadong, KKBS, di sini.
Tambah
Yang Berhormat, di sinilah kepentingan golongan belia untuk
mempersiapkan diri dan mendalami ilmu Al-Quran, demi memartabatkan
kesucian agama Islam juga memastikan maruah bangsa dan Negara Brunei
Darussalam yang tercinta ini dipertahankan sebagai sebuah Negara Zikir,
iaitu negara Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur yang berpaksikan
kepada ajaran agama Islam yang suci.
''Jadikanlah
Al-Quran sebagai pedoman, dan lihatlah kepada tokoh-tokoh belia dalam
sejarah Islam, khususnya di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,
sebagai teladan dalam mengharungi kehidupan seharian kita,'' saran Yang
Berhormat.
Terdahulu
itu, Yang Berhormat melahirkan rasa bangga terhadap para belia yang
menyertai musabaqah tersebut kerana mereka benar-benar mencerminkan
hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk sama sekali tidak akan
membiarkan setiap generasi yang ada jauh daripada agama, tetapi akan
terus konsisten menanam nilai-nilai Islam ke dalam kehidupan mereka.
Menurut
Yang Berhormat lagi, musabaqah tersebut bermatlamat bukan sahaja untuk
bertanding semata-mata, malah ia dilihat sebagai salah satu usaha untuk
menyebarkan 'wasilah' Tarbiah Islam dalam kalangan belia-belia.
Ia
akan menjadi pemangkin bagi menggalakkan belia untuk mendekatkan diri
dengan Al-Quran Al-Karim, seterusnya memupuk keperibadian dan akhlak
Al-Quran dalam diri mereka.
"Pada
masa yang sama, kita menyedari bahawa dalam zaman yang serba canggih
ini, belia kita sering terdedah kepada pelbagai hambatan dan pengaruh
yang sebahagiannya baik mahupun sebaliknya. InsyaaAllah, dengan pegangan
yang kukuh dan penghayatan ilmu Al-Quran dan Hadis Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam, belia kita tidak akan mudah terbawa dengan
unsur-unsur yang kurang baik," ujarnya lagi.
Oleh
yang demikian katanya, program-program pembangunan belia hendaklah
sentiasa menitikberatkan keseimbangan di antara amalan duniawi dan
ukhrawi dalam membentuk belia yang syumul, bukan sahaja berilmu dan
berkemahiran, malah mempunyai kekuatan iman juga pendirian teguh.
Sebagai
bakal pewaris kepimpinan masa depan tegasnya, ciri-ciri inilah yang
mesti ada dan ditanai oleh belia kita agar mereka mempunyai jati diri
yang teguh dengan kepimpinan yang bijaksana dan sentiasa berwawasan,
berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja.