Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

30.03.2019 | Brunei raih enam pingat

​Pasukan Lawan Pedang Negara Brunei Darussalam berjaya meraih enam pingat di hari pertama berlangsungnya Kejohanan Lawan Pedang Terbuka Brunei 2019 bertempat di Pusat Belia, di ibu negara.

 

Pingat perak tunggal diraih oleh Dayang Hajah Anis Sabrina binti Haji Yahya melalui acara Perseorangan Wanita Sabre (Women's Sabre) setelah tewas kepada peserta dari Malaysia, Natania Li Suet Tai mewakili Nilai University yang meraih pingat emas.

 

Dua pingat gangsa negara diraih dalam acara perseorangan Lelaki Epee (Men's Epee) masing-masing melalui Awang Harrisman Ashady bin Haji Ali dan Abd. Afiq Sasnan.

 

Satu pingat gangsa disumbangkan oleh Awang Qawi Iskandar melalui acara Perseorangan Lelaki Foil (Men's Foil) dan dua lagi pingat gangsa dimenangi dalam acara Perseorangan Wanita Sabre melalui Norhaziqah binti Haji Zamri dan Wardatul 'Izzah binti Ahmad Ramzuna.

 

Pingat emas bagi acara Lelaki Epee dimenangi oleh Joshua I Jie Koh dari Nilai University Malaysia dan pingat perak dimenangi oleh Muhammad Amir Syazwan bin Abd. Hadi mewakili kelab Johor Amatuer Fencing Association, Malaysia.

 

Manakala bagi acara Perseorangan Lelaki Foil, pingat emas dan perak masing-masing diraih oleh peserta dari Touche Fencing Club Malaysia, iaitu Megat Zuhril bin Megat Zariman dan Hong Li Chong.

 

Penyampaian pingat-pingat disempurnakan oleh Presiden Persekutuan Lawan Pedang Brunei Darussalam, Awang Haji Kassim bin Bakar dan Pengarah Pembangunan Sukan, Nilai University Malaysia, Leftenan Kolonel (PA) Michael Yei Wee Keat.

 

Ketika ditemui oleh pihak media, Dayang Hajah Anis Sabrina yang meraih pingat perak menyatakan bahawa persembahannya pada perlawanan tersebut bukanlah yang terbaik, namun beliau menyatakan mampu melakukan lebih baik daripada itu.

 

Berdasarkan dari pengalamannya sepanjang mengikuti kejohanan-kejohanan lain, beliau merasakan bahawa peserta-peserta pada kejohanan kali ini juga tidak kurang hebatnya dan merupakan saingan yang hebat.

 

Walaupun terpaksa akur meraih pingat perak dalam acara Women's Sabre, beliau tetap tidak berputus asa dan akan terus memberikan saingan yang hebat bagi acara kejohanan seterusnya.

 

Menurutnya lagi, dengan latihan-latihan yang berterusan dan pendedahan serta pengalaman yang diraih melalui kejohanan-kejohanan dalam dan luar negara setentunya akan dapat meningkatkan lagi prestasi dan semangatnya untuk bersaing di masa hadapan.

 

Kejohanan akan disambung pada hari kedua dengan menyaksikan perlawanan dalam acara Perseorangan Wanita Epee, Perseorangan Wanita Foil dan Perseorangan Lelaki Sabre.


Sumber : Pelita Brunei Online

Attachments
Created at 4/11/2019 3:55 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 4/11/2019 3:55 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli