Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

30.03.2019 | Perguruan Panca Sukma juara keseluruhan

Perguruan Panca Sukma muncul juara keseluruhan bagi Kejohanan Pencak Silat Remaja Terbuka Kebangsaan Brunei Darussalam, 2019 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

 

Sementara itu, Atlet Lelaki Terbaik telah dimenangi oleh Mohd. Iqbal, pesilat dari Persatuan Pencak Silat Kebangsaan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala Atlet Wanita Terbaik disandang oleh Dayang Nur Wasiqah Aziemah binti Rosihan, pesilat dari Perguruan Panca Sukma.

 

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

 

Terdahulu sebelum Majlis Penutup kejohanan tersebut, empat acara akhir bagi Kategori Tanding telah diadakan, iaitu bagi Kelas 'C' Lelaki, Kelas 'D' Wanita, Kelas 'D' Lelaki dan Kelas 'E' Lelaki.

 

Bagi Kelas 'C' Lelaki, pesilat dari Persatuan Pencak Silat Kebangsaan Wilayah Persekutuan Labuan, iaitu Awangku Mohd. Aminu Alif bin Hamidon berjaya menewaskan Khirul Amirin bin Jasmin, pesilat dari Pencak Silat Sekolah Sukan.

 

Manakala Dayang Nur Wasiqah Aziemah berjaya memenangi Kelas 'D' Wanita setelah menewaskan lawannya dari Pertubuhan Seni Warisan Pelangi, Dayang Nur Fadhilah Fikriyah binti Latif.

 

Sementara itu bagi Kelas 'D' Lelaki, Md. Nur Rizal Hakim bin Md. Nur, pesilat dari Perguruan Gagak Hitam (PERGAH) mempamerkan ketangkasan yang begitu baik sehingga meyakinkan para wasit dan juri merangkul 5 – 0 ke atas saingannya, Awangku Mohammad Nabil Mirza bin Pengiran Mohd. Fazillah dari Pertubuhan Seni Warisan Pelangi.

 

Manakala dalam Kelas 'E' Lelaki, Mohd. Iqbal berjaya menewaskan pesilat dari Rumpun Silat Sarawak Wilayah Lawas, Muhamad Zulhairi bin Awang Ramli.

 

Pada majlis penutup itu, Yang Berhormat Awang Iswandy juga telah menyarungkan semula Keris Pertandingan bagi mengisytiharkan penutupan kejohanan berkenaan.


Sumber : Pelita Brunei Online

Attachments
Created at 4/11/2019 3:51 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 4/11/2019 3:51 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli