Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

30.03.2019 | 161 sertai Kejohanan Karatedo Terbuka Borneo

Kejohanan Karatedo Terbuka Borneo kali pertama 2019 yang bermula hari ini dan berakhir 31 Mac menyaksikan seramai 161 orang peserta berentap bagi merebut pingat-pingat kejohanan.

 

Kontinjen yang menyertai kejohanan kali ini mewakili daripada Sabah, Sarawak, Labuan, Kalimantan Indonesia dan Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah.

 

Pembukaan rasmi kejohanan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

 

Sejurus merasmikan kejohanan, Yang Berhormat Menteri turut diperkenalkan kepada ketua-ketua kontinjen serta para pengadil dan seterusnya menyaksikan perlawanan akhir Acara Kata Perempuan bagi Kategori 'C' (12-13 tahun).

 

Beberapa perlawanan Kategori Kata Perseorangan Lelaki dan Perempuan juga diadakan pada sebelah pagi kejohanan.

 

Yang Berhormat Menteri kemudiannya menyempurnakan penyampaian pingat-pingat kepada para pemenang Kategori Kata Perseorangan Lelaki dan Perempuan.

 

Pingat Emas menjadi milik Kontinjen Sabah apabila berjaya mendominasikan semua Kategori Kata yang dipertandingkan pada sebelah pagi tersebut.

 

Bagi Kategori 'A' (8-9 tahun) Kata Lelaki, pingat emas dan perak masing-masing dimenangi oleh atlet dari Sabah, iaitu Mohammad Syadam Fais bin Masakirah dan Muhammad Hyril Ashraff bin Mohammad Hasmawi.

 

Manakala pingat gangsa bersama dimenangi oleh Awangku Ahmad Muazz Aiman @ Rayyan bin Pengiran Haji Hasimudin, atlet Negara Brunei Darussalam dan Muhammad Syahzrullah bin Halim Sabah dari Sabah.

 

Kontinjen Sabah turut mengungguli dalam Kategori 'B' (10-11 Tahun) Kata Lelaki apabila atletnya, Muhd. Afif Qusyaire Musinon, Mukhriz Mazlan dan Muhammad Irfan Shah bin Mohd. Fadli Shah masing-masing memenangi pingat emas, perak dan gangsa manakala pingat gangsa kedua diraih oleh atlet dari Labuan, iaitu Muhammad Isyraf Faiz bin Mohd. Ismifarizal.

 

Dalam Kategori 'A' (8-9 Tahun) Kata Perempuan pula, pingat emas dan perak diraih oleh Nur Rasyiqah Fari'ah binti Razimi dan Izabelle Ann Donny dari Sabah sementara atlet Negara Brunei Darussalam berjaya memenangi pingat gangsa melalui Fiha' Ainun Jariyah binti Faruki bersama atlet dari Sarawak, Puteri Qalisya binti Mohd. Khairi.

 

Bibi Aysha binti Muhd. Zain dan Audrey Adreana Baking dari Sabah pula masing-masing meraih pingat emas dan perak dalam Kategori 'B' (10-11 Tahun) Kata Perempuan manakala pingat gangsa bersama disandang oleh Ausya Maisara binti Abdullah Arni dari Sarawak dan Farhah Rannan Rania binti Mohd. Shamrin dari Negara Brunei Darussalam.

 

Kategori 'C' (12-13 Tahun) Kata Perempuan pula menyaksikan Ivy Olivera Donny dan Anneliese Anne Robberth dari Sabah meraih pingat emas dan perak sementara atlet Negara Brunei Darussalam, Nur Illah binti Abdul Rahman dan Puteri Arissa binti Mohd. Khairi dari Sarawak memenangi pingat gangsa bersama.

 

Acara pada sebelah petang hari pertama kejohanan pula menyaksikan perlawanan bagi acara Perseorangan Kumite bagi Kategori 'A', 'B' dan 'C'.

 

Kejohanan dua hari itu dianjurkan bersama oleh Persekutuan Karatedo Brunei Darussalam (BRUKAF) dan Rengokai Karatedo Brunei Darussalam (RKBD).

Sumber : Pelita Brunei Online

Attachments
Created at 4/11/2019 3:47 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 4/11/2019 3:47 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli