Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

20.03.2019 | MMN 2019 : Kenal pasti sukan menyumbang pingat

​Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menggariskan beberapa strategi dalam menghadapi sukan di peringkat serantau ataupun antarabangsa termasuk SEA Games.

 

Strategi tersebut adalah mengenal pasti sukan-sukan yang boleh menyumbang pingat, mengadakan program-program pembangunan dan pengenalan bakat; meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan organisasi sukan, termasuklah persatuan-persatuan melalui kursus-kursus pentadbiran yang dikendalikan oleh badan-badan antarabangsa; meningkatkan jumlah dan kualiti orang bersukan dan beriadah; meningkatkan kerjasama dengan pihak NGO agensi kerajaan dan swasta; membudayakan sukan, meningkatkan sumber tenaga manusia termasuk pakar sains, jurulatih dan menyediakan prasarana serta memastikan dana yang mencukupi dan meningkatkan kutipan hasil.

 

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menyatakan perkara tersebut semasa menjawap soalan yang ditimbulkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis pada Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-15 MMN yang memasuki hari kesembilan di Bangunan Dewan Majlis.

 

"Jadinya, ini adalah strategi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Sememangnya, kita mempunyai strategi dalam menghadapi sukan di peringkat serantau dan antarabangsa termasuklah SEA Games. Persoalannya, kenapakah kita tidak dapat menyumbang pingat yang dihasratkan?," terang Yang Berhormat Menteri. 

 

Menurut Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan lagi, ada sebab-sebab yang telah pun dilihat melalui 'challenge' yang telah dihadapi tetapi kebanyakannya cabaran kita adalah komitmen dan juga perkembangan pembangunan sukan yang dilaksanakan oleh persatuan-persatuan dan juga pemantauan dari pihak KKBS sendiri.

 

 "Jadinya, pembangunan sukan ini hendaklah mantap dan kitani mestilah pengguna sukan ini akan mencari 'talent' yang boleh kitani latih untuk menjadi atlet yang elit. Cabaran yang dapat dilihat hasil daripada post mortem adalah komitmen. Ia bukan saja komitmen daripada para atlet akan tetapi ia adalah komitmen di peringkat senegara. Senegara ini adalah komitmen kerja, pendidikan dan sebagainya, tetapi ia lebih berbentuk kepada komitmen atlet itu sendiri kerana masa adalah penting. Mereka hendaklah memberikan masa, menumpukan masa, kerana masa ini bukanlah kepada mereka. Mereka hendaklah memberikan masa terhadap komitmen untuk membuat latihan dan sebagainya," tambah Yang Berhormat Menteri.

 

Yang Berhormat berkata, kita mengakui dari aspek sumber kewangan dan sebagainya akan tetapi kita akan melihat keutamaan jenis sukan yang boleh dipertandingkan di peringkat yang bersesuaian.

 

Kita tidak mahu menghantar apa jua sukan-sukan ataupun atlet-atlet yang tidak boleh mencapai kepada tahap kompetitif dan insyaaAllah boleh menyumbangkan pingat.

 

"Memang untuk menjawabnya kita mempunyai strategi akan tetapi pada tahun ini kita meningkatkan pembangunan sukan kepada BND200,000.00 khususnya kepada persatuan-persatuan. Kita berdoa semoga pada tahun ini, kita akan mencapai hasrat," jelas Yang Berhormat.


Sumber : Pelita Brunei - Laporan : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hernie Suliana Othman, Azmah Haji Ahad

Attachments
Created at 3/26/2019 2:06 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 3/26/2019 2:06 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli