Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

04.03.2019 | KKBT sertai pengisian Malam Jiwaku Patriotik

Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT) Pusat Belia Bandar Seri Begawan dengan sokongan Kris Karmila Kreation, pada 2 Mac lepas telah mengadakan Malam 'Jiwaku Patriotik' di Dewan Riadah pusat berkenaan di ibu negara.



Acara yang dimulakan dengan bacaan ikrar taat setia itu diketuai oleh Adyy Fahmann bin Hadiman dan juga disertai oleh para peserta persembahan pementasan dan Ahli-ahli KKBT.


Jiwaku Patriotik menggabungkan penyertaan daripada kalangan belia dari pelbagai agensi dan perkumpulan, selain penyertaan daripada rakan strategik lainnya yang juga menyertai di dalam aktiviti pameran dan jualan tertumpu di dewan berkenaan.


Antara pengisian pementasan termasuklah nyanyian koir dan 'marching band' dari pelajar-pelajar Sekolah Seri Mulia Sarjana, persembahan Puisi Patriotik daripada Adik Rayyan Iman; Mohamad Riduwan Johari dan Kris Karmila, persembahan gulintangan kumpulan Kulimpapa KKBT, persembahan Seni Silat dari kumpulan pesilat KKBT serta persembahan Hadrah jemputan dari Shabab Ass Shafiin di samping mengundang penyertaan pengunjung menerusi Kuiz Interaktif.


Para pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif, seperti turut sama belajar permainan tradisi seperti permainan Salok-Salokan; Simban; Pasang; Buah lapas-lapasan dan Tilu-tilan, penyertaan dari Persatuan Pekikik Brunei serta jualan beberapa jenis makanan dan kuih tradisi kitani.


Jiwaku Patriok menggabungkan pelbagai pengisian, dengan harapan ia akan dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat akan nilai-nilai seni budaya yang juga sebagai usaha untuk memanifestasi rasa kecintaan dan ketaatan dalam melestari warisan bangsa yang juga melambangkan semangat patriotisme di kalangan Ahli-ahli KKBT dan para belia yang terlibat.


Acara tersebut antara yang memeriahkan projek Malam Minggu Pusat Belia yang diadakan pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan.


KKBT mempunyai pecahan kumpulan operasinya yang dinamakan sebagai biro, iaitu Biro Keagamaan; Biro Pendidikan; Biro Keusahawanan; Biro Kemasyarakatan; Biro Seni & Budaya serta Biro Sukan dan Riadah. Sejak penubuhannya, KKBT menerima lebih 700 pendaftaran keahlian.


Attachments
Created at 3/7/2019 12:26 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 3/7/2019 12:26 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli