SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN KE-11
KHAMIS, 2 SAFAR 1438 / 3 NOVEMBER 2016
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS


“Belia adalah aset negara. Kerana itu, agenda pembinaan belia adalah amat penting untuk diberikan fokus. Mereka yang dibangunkan itu akan menjadi cermin kepada corak kepimpinan masa depan yang penuh dengan teka teki.“

 

Petikan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Wadien, Sultan dan Yang di Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Perayaan Ulang Tahun ke-24 Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada 23 Februari 2008.


ACARA SAMPINGAN

MAJLIS DOA KESYUKURAN
Sembahyang Fardhu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Bertahlil serta Doa Kesyukuran
Hari Rabu, 2 November 2016, Bertempat: Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku, Katok, Jam 5.30pm,  Tetamu Kehormat: YB Menteri KKBS



Hari Belia Kebangsaan jatuh pada 1 Ogos setiap tahun di mana para belia di negara ini berkumpul dengan tujuan yang bermakna. 

Pengishtiharan Hari Belia oleh Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi 1 Ogos dijadikan sebagai Hari Belia Kebangsaan adalah satu pengiktirafan dan penghargaan terhadap pergerakan belia di negara ini. 

Dalam usaha membangun belia di negara ini Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa memberikan perhatian yang penuh melalui penyediaan berterusan program-program pembangunan kapasiti, kemudahan-kemudahan prasarana, infrastruktur dan bantuan fisikal dan fiskal.

OBJEKTIF
  • Untuk mengumpulkan belia-belia di seluruh negara dalam satu perhimpunan dengan aktibiti-aktibiti yang bermakna

  • Untuk memartabatkan pergerakan belia dengan memperingati dan menyambut Hari Belia Kebangsaan

  • Untuk memberi peluang kepada belia-belia berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dan pendapat dari berbagai aspek

  • Untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan menjana integrasi di kalangan generasi belia


TEMA SAMBUTAN

Belia Berwawasan : Pemangkin Transformasi

Selaras dengan tema Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 2016 iaitu Generasi Berwawasan yang melihatkan para belia adalah generasi penerus pembangunan Negara yang akan dapat mendokong usaha dalam merealisasikan Wawasan Negara 2035 iaitu ke arah rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya; kehidupan rakyat yang berkualiti; dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan. Keterlibatan para belia sebagai pemangkin transformasi di dalam proses transformasi Negara adalah penting. Perubahan, penghijrahan dan transformasi adalah kemestian dalam usaha menuju negara yang maju dan dinamik. Ia memerlukan asas-asas dan pendekatan yang transformatif bagi mencapai cita-cita tersebut.

Sesuai dengan matlamat Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2016 iaitu untuk mengiktiraf belia dan pergerakan belia di negara ini maka adalah diharapkan dengan pelaksanaan Sambutan Hari Belia Kebangsaan kali yang ke-11 ini akan dapat menggalakkan lebih ramai lagi penglibatan golongan belia di dalam aktiviti-aktiviti kebeliaan khususnya dan terlibat sama dalam usaha-usaha pembangunan negara amnya termasuk dalam kerja sukarelawan.

Penganjuran acara-acara sampingan Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2016 adalah juga diharapkan akan dapat dijadikan sebagai wadah atau ’platform’ bagi golongan belia di negara ini untuk sama-sama memikirkan ’penyelesaian terbaik’ dalam  menangani cabaran-cabaran dan isu-isu pembangunan belia dan mampu untuk memperluaskan lagi perspektif belia terutamanya mengenai dengan kehidupan dalam komuniti, peranan dan kepentingan belia dalam pembangunan sesebuah negara.


ANUGERAH BELIA KEBANGSAAN

Anugerah Belia Kebangsaan merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan negara kepada pergerakan belia di Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama menyahut titah serta hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Wadien, Sultan dan Yang di Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan belia suatu aset yang perlu diberi fokus dan dihargai. Ini membuktikan bahawa golongan belia tidak pernah diabaikan oleh pihak kerajaan dan sentiasa diberi perhatian penuh dalam pembangunan belia. Penyediaan kemudahan dan prasarana merupakan bukti kesejahteraan dan kehendak belia terpelihara. Pengiktirafan ini adalah merupakan sebagai satu wadah dan manifestasi dalam mendokong usaha golongan belia dalam membangun dan mengekalkan semangat kesukarelawanan dikalangan masyarakat. Penglibatan belia secara sukarela telah disentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah sempena Sambutan Hari Belia kali pertama pada 1 ogos 2006.

 

Bagi Anugerah Belia Kebangsaan tahun 2016, sebanyak empat kategori anugerah akan diberikan iaitu Anugerah Projek Cemerlang Persatuan Untuk Belia, Anugerah Pemimpin Muda Belia, Anugerah Belia Cemerlang, Anugerah Belia Berkhidmat.


ANUGERAH PROJEK CEMERLANG PERSATUAN UNTUK BELIA

Anugerah ini merupakan pengiktirafan bagi projek-projek belia yang berjaya menjadi inspirasi dan model kepada pembangunan masyarakat secara am dan khususnya kepada para belia, di dalam pelbagai bidang. Selain daripada itu projek-projek ini akan menjadi inovasi sosial yang akan membangun dan memajukan organisasi atau persatuan.


ANUGERAH PEMIMPIN MUDA BELIA

Anugerah Pemimpin Belia Berjasa merupakan satu pengiktirafan atas khidmat cemerlang yang telah diberikan oleh Pemimpin Muda dalam memajukan persatuan belia yang telah dipimpinnya secara berterusan dalam pelbagai bidang sama ada keugamaan, kemasyarakatan, kesukanan, pendidikan dan sebagainya.  Di samping itu juga sebagai penghormatan yang berterusan bagi ikutan dalam melahirkan pemimpin belia yang berwibawa, berwawasan, berhemah tinggi.

ANUGERAH BELIA CEMERLANG

Anugerah Belia Cemerlang merupakan pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada belia yang telah memberikan sumbangan jasa yang cemerlang dalam kerja atau usaha-usaha yang ditunjukkan dalam mengharumkan nama negara.  Pencapaian cemerlang dalam pertandingan serantau dan antarabangsa dalam pelbagai bidang sama ada keugamaan, kesukanan, pendidikan dan sebagainya.

ANUGERAH BELIA BERKHIDMAT

Anugerah Belia Berkhidmat merupakan pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada para pemimpin belia / belia yang telah memberikan sumbangan / khidmat secara sukarela mereka secara berterusan untuk masyarakat terutama golongan belia di Negara ini dalam pelbagai bidang sama ada keugamaan, kemasyarakatan, kesukanan, pendidikan dan sebagainya.