TITAH

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Belia Kebangsaan pada Hari Sabtu, 30hb Rejab 1429 bersamaan 02hb Ogos 2008
TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
HARI BELIA KEBANGSAAN

BERTEMPAT
DI STADIUM TERTUTUP
KOMPLEKS SUKAN NEGARA HASSANAL BOLKIAH

PADA
HARI SABTU 30 REJAB 1429/2 OGOS 2008

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Aalaa Umuriddunyaa Waddeen. Wassalatu Wassalamu’Aalaa Asyrafil Mursaleen Sayyidina Muhammad Wa’alaa ‘Aalihee Wasahbihee Ajmaeen.  Waba’du.

Beta bersyukur kerana sekali lagi dapat bersama-sama menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan pada pagi ini.  Kepada para belia, beta mengucapkan selamat menyambut Hari Belia Kebangssan 2008.  Beta juga merakamkan penghargaan terima kasih di atas sumbangan khidmat bakti para belia kepada negara.

Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan adalah wadah untuk menilai pencapaian matlamat pembangunan belia ke arah Belia Brunei Cemerlang seperti yang termaktub dalam Dasar Belia Negara. ‘Belia Cemerlang’ ialah belia beriman, berilmu, bertanggungjawab dan cekal.

Kita semua menyedari, untuk mewujudkan belia cemerlang adalah memerlukan penglibatan semua pihak, termasuk individu, keluarga dan masyarakat.  Tambahan pula, kesan kederasan arus globalisasi masa kini, telah menimbulkan pelbagai cabaran serta hambatan dalam usaha mewujudkan belia cemerlang itu.  Ini, termasuklah cabaran-cabaran dalam bidang pendidikan dan pekerjaan.

Kerana itu, para belia tidak ada pilihan lain kecuali sentiasa berusaha meningkatkan kebolehan dan kemahiran.  Hanya dengan cara ini sahaja seseorang dapat diharapkan untuk menjadi belia yang cemerlang.

Beta percaya belia pada hari ini, dengan berbekalkan ilmu pengetahuan yang diperolehi daripada pelbagai institusi pendidikan, sama ada di dalam mahupun di luar negara, akan berupaya membuat pilihan terbaik lagi bijaksana dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut.

Sempena Sambutan Hari Belia ini, beta mengharapkan agar para belia akan terus melipatgandakan usaha ke arah meningkatkan lagi semangat ingin maju dan bertanggungjawab dalam semua bidang kehidupan yang diceburi.

Sebagai tunas bangsa, penglibatan para belia dalam proses pembangunan negara sangatlah bermakna.  Beta amat berbangga kerana telah ramai para belia yang telah memperolehi kelulusan tinggi, baik dalam bidang profesional mahupun dalam bidang vokasional.  Mereka ini tentu saja mampu untuk menjana dan memperkasa pembangunan negara.  Tunas bangsa seperti inilah yang kita perlukan demi masa depan bangsa dan negara yang kita cintai ini.

Dalam kita meraikan Hari Belia ini, kita janganlah meminggirkan golongan belia yang kurang bernasib baik.  Mereka ini memerlukan perhatian dan bimbingan daripada kita untuk menjadi insan yang dapat sama-sama menyumbangkan bakti kepada pembangunan negara.

Beta berharap agensi-agensi yang bertanggungjawab akan memberikan pemedulian khusus kepada golongan belia berkenaan dengan menyediakan peluang dan harapan melalui program-program bersepadu, seperti program-program peningkatan keyakinan jati diri dan lain-lain.  Melalui program-program sedemikian, golongan belia yang kurang bernasib baik ini akan merasa dihargai dan juga berpeluang untuk sama-sama menyumbangkan jasa bakti mereka.

Di samping giat mengikuti perkembangan dan menambah ilmu, beta sukacita mengingatkan supaya para belia kita jangan melupakan kemurnian adat resam dan identiti bangsa yang diwarisi turun-temurun.  Orang Brunei terkenal dengan kemurnian budi pekerti dan berhemah tinggi.  Nilai murni budaya ini perlu ditanamkan dalam diri belia kita, kerana ia mencerminkan keluhuran dan ketinggian bangsa.

Beta juga ingin mengingatkan supaya para belia sentiasa siap siaga untuk bersaing dan tabah menghadapi risiko, kerana kejayaan itu tidak akan datang bergolek tetapi melalui kerja keras dan usaha yang cekal.

Insya-Allah jika ramai para belia mempunyai istiqamah dan tanggungjawab menghadapi sebarang cabaran dan saingan, maka negara akan lebih mudah menuju jalan gemilangnya dengan izin Allah.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Belia Kebangsaan bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah pada Hari Isnin, 21 Syaaban 1431/2 Ogos 2010

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’alaa AalihieWasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Sempena Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini, beta ingin mengucapkan tahniah kepada semua golongan belia di negara ini, terutama mereka yang turut terlibat menyumbang kepada pembangunan dalam apa pun bidang, khasnya bidang keusahawanan.

Masa depan negara tidak syak lagi, banyak bergantung kepada golongan belia.  Kerana itu mereka perlu dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran, semangat jati diri serta aqidah yang mantap.

Beta melihat, golongan belia kita perlu dirancang, bagaimana untuk menjadikan mereka itu berjiwa besar dan bercita-cita tinggi bagi pembangunan sosial dan ekonomi yang berjaya.

Penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan perlu terus digalakkan melalui latihan-latihan atau pendidikan, sama ada yang bersifat formal ataupun tidak, yang telah kerajaan beta sediakan.

Kefahaman yang mendalam mengenai bidang keusahawanan ini sangatlah penting, kerana daripadanya akan tercetus pelbagai kegiatan keusahawanan dan sekali gus mampu untuk mengurangkan pengangguran di kalangan belia.

Bidang ini bukanlah mudah, ia termasuk salah satu bidang yang penuh dengan saingan dan cabaran.  Oleh itu, untuk mencapinya, para belia perlu mempunyai kekuatan dalaman, iaitu ‘jiwa yang besar’.

Jiwa besar ini akan mendorong mereka lebih rajin berusaha, sanggup ‘berbasah berkering’ dan ‘tahan lasak’.  Inilah belia yang kita dan negara impikan.  Belia seperti ini, tidak akan melihat kesukaran sebagai penghalang kejayaan, malah sebaliknya akan menjadikannya lebih gigih dan berdaya saing.

Ke arah itu, belia-belia perlu kita bekalkan dengan kemahiran bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi persaingan dan cabaran ini.

Sebab itulah, beta sering menekankan supaya program-prigram latihan belia khususnya di bidang keusahawanan perlulah diperkukuhkan terutamanya dalam bidang-bidang pengurusan perniagaan dan kewangan, teknikal dan juga pemasaran.

Hanya dengan kemahiran ini, belia-belia akan dapat berdikari tanpa mengharapkan sebarang bantuan dari pihak-pihak tertentu.

Ini adalah selaras dengan Dasar Belia Negara yang inginkan para belia menyertai segala macam kegiatan, khasnya kegiatan-kegiatan ekonomi.  Semua ini dihasratkan, untuk kita sama-sama dapat menjana pembangunan ekonomui yang lebih dinamik, sehingga tercapainya Wawasan 2035.

Dalam pada itu, jangan lupakan garis panduan syarak, yang terimbas di dalam etika keusahawanan dan perniagaan Nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.  Baginda itu menangani semua ini dengan penuh tabah, berani dan amanah, yang dengannya, menjadikan perusahaan dan perniagaan Baginda berjalan bersih mendapat kejayaan.

Etika ini, sama sekali jangan diabaikan, barulah Allah Subhanahu Wataala  akan membantu kita dengan rahmat kurnia-Nya berupa pahala dan keuntungan, insya-Allah.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalmu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN KALI KE-9 TAHUN 2014

PADA HARI SABTU
8HB. ZULKAEDAH, 1435
3HB. SEPTEMBER 2014

BERTEMPAT DI
STADIUM TERTUTUP,
KOMPLEKS SUKAN NEGARA HASSANAL BOLKIAH

    Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah kita pada hari ini bersama-sama lagi berkumpul dalam perhimpunan Sambutan Hari Belia Kebangsaan kali kesembilan bagi tahun 2014. Beta sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Hari Belia Kebangsaan 20044 kepada semua para belia di negara ini.
Para belia mempunyai peranan yang sangat besar dalam memelihara dan mengangkat martabat negara. Mereka juga  adalah golongan paling berpotensi untuk mencorakkan bangsa dengan apa jua corak  yang mereka mahu.   Bukankah hampir 50 peratus dari jumlah penduduk negara ini terdiri daripada kaum belia? Jumlah yang sebesar ini merupakan satu ‘kuasa’ tersendiri.
Kaum belia perlu menggunakan kelebihan ini untuk membina diri mereka sendiri dan juga masyarakat. Dengan kelebihan yang ada itu, mereka adalah mampu untuk terus berkembang, dengan merebut pelbagai peluang yang sentiasa terbuka luas di hadapan mereka. Peluang-peluang tersebut turut meliputi, seperti peluang menambah kebolehan dan kemahiran.
Kaum belia juga adalah agen kepada perubahan. Namun dalam perkara perubahan ini, semua kita, lebih-lebih lagi kaum belia adalah dikehendaki supaya lebih bijak dan berhati-hati dalam menilai dan memilih perubahan itu. Kerana bukanlah semua perubahan itu baik, malah ada yang memerlukan kita supaya mengelaknya, iaitu jika perubahan itu membawa impak tidak baik atau tidak selaras dengan aspirasi bangsa.
Sebelum membawa atau melahirkan sebarang perubahan, kaum belia dikehendaki untuk memiliki jatidiri yang jelas, kukuh dan mantap. Ia juga mustahak untuk diisi dengan nilai-nilai ugama dan budaya yang luhur, supaya kelak perubahan itu tidak dibayangi oleh elemen-elemen yang tidak diingini.
Jika sesuatu perubahan itu menampilkan kebatilan, maka perubahan seperti ini tidaklah dialu-alukan, kerana kemunculannya bukan membawa kebaikan tetapi sebaliknya mengundang kerosakan. Ini, sangat biasa terjadi dimana-mana, atas nama perubahan, kalau perubahan itu berunsur malapetaka, maka masyarakat yang menerimanya akan menderita jadinya.
Kita di Brunei, perlulah berhati-hati dengan perkara seumpama itu, cari dan rancanglah perubahan yang membina, bukan perubahan yang merosak. Janganlah belajar atau mengambil dari mana-mana yang tidak bermanfa’at untuk dipelajari, tetapi belajarlah dari mana dan kepada siapa yang patut dicontohi.
Inilah cara mengendalikan diri. Para belia mustahak memahami perkara ini. Mengendalikan diri itu bererti juga menguasai keadaan di mana yang perlu.
Inilah cabaran yang sangat sukar untuk dihadapi, iaitu cabaran abad ke-21 era globalisasi. Cabaran ini tidak pernah sunyi dari agenda memusnahkan kebenaran.
Di sinilah para belia tidak boleh memandang ringan sebarang cabaran, tetapi mustahak menghayati saranan tema Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini: Bersatu Menghadapi Cabaran Abad Ke-21.
Sesungguhnya abad ini memang penuh dengan cabaran. Tidak siapapun yang boleh terlepas dari cabaran, sama ada cabaran itu membina atau meruntuh. Jika cabaran membina, ia wajar kita sambut dengan keghairahan, sementara jika cabaran itu meruntuh, maka kita adalah berkewajipan untuk menyambutnya dengan semangat menolak atau melawan, dalam makna, kita perlu berjaya menolak atau menggagalkannya. Jika kita berjaya menolak atau menggagalkan cabaran seperti
ini, bererti kita adalah penyelamat: penyelamat diri sendiri, penyelamat masyarakat dan penyelamat negara.
Para belia mesti tampil menjadi wira keadaan. Corakkanlah keadaan itu dengan kebajikan. Biar ia malar tenteram dan menyenangkan serta berhias dengan perpaduan, persefahaman dan keharmonian.
Satu contoh bagus tentang perpaduan dan persefahaman, terdapat dalam acara-acara Kejohanan Bola Sepak Piala Hassanal Bolkiah Peringkat Belia. Melalui acara-acara ini kita dapat menyaksikan kumpulan belia negara-negara ASEAN dan Timor Leste sedang beraksi merealisasikan perpaduan dan persefahaman di antara mereka. Suasana seperti ini amatlah membanggakan dan malah menghiburkan.
Kita juga gembira, kerana kejohanan ini telah turut diiktiraf oleh Asian Football Confederation (AFC) dan ASEAN Football Federation (AFF) sebagai satu kejohanan bola sepak belia yang terunggul di rantau ini.
Ini tidak syak lagi adalah merupakan satu lagi pencapaian bagi agenda dunia ‘Sukan untuk Keamanan dan Pembangunan’ atau Sports for Peace and Development.
Untuk akhirnya, Beta mengambil kesempatan, untuk mengucapkan  setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan Tebuan Muda Negara Brunei Darussalam di atas mutu persembahan mereka yang baik, walaupun tidak dapat meneruskan sehingga kepusingan berikutnya.

Sekian, Wabillahhit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
di Istiadat  Pengurniaan Bintang Kebesaran dan Pingat Kehormatan kepada pihak pengurusan dan pemain-pemain bola sepak Negara Brunei Darussalam sempena memenangi Piala Hassanal Bolkiah 2012
pada hari Khamis, 13 Jamadilawal 1432 Hijrah / 5 April 2012.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat-Nya yang mengizinkan kita untuk berkumpul di Istiadat Pengurniaan Bintang Kebesaran dan Pingat Kehormatan kepada pihak pengurusan dan pemain-pemain bola sepak Negara Brunei Darussalam bersempena dengan kejayaan mereka menjuarai Piala Hassanal Bolkiah pada tahun ini.
Kejayaan Pasukan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam ini adalah satu pencapaian yang amat cemerlang dan sungguh membanggakan bagi seluruh rakyat serta penduduk khususnya di kalangan golongan belia di negara ini.
Beta merasa gembira dan seterusnya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemain, jurulatih dan pengurus pasukan kita di atas kejayaan ini.
Kejayaan seumpama ini setentunya memerlukan kom itmen dan disiplin yang tinggi di semua peringkat, baik di peringkat pengurusan mahupun di kalangan pemain itu sendiri.
Beta berharap kejayaan yang dicapai ini akan menjadi pendorong dan seterusnya menyuntik semangat ke arah mengangkat kecemerlangan sukan di Negara Brunei Darussalam lebih-lebih lagi untuk menjadikan Piala Hassanal Bolkiah sebagai platform untuk memajukan kecemerlangan bola sepak di rantau Asia Tenggara.
Beta ingin melihat pemain-pemain bola sepak Negara Brunei Darussalam di Kejohanan Piala Hassanal Bolkiah ini dijadikan sebagai asas penubuhan Pasukan Kebangsaan di bawah pengawasan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Ke arah itu, adalah diharapkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan merancang skim dan program penggalak yang bersesuaian bagi mempersiapkan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan ini di kejohanan-kejohanan yang lebih mencabar.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Titah
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

di Majlis  Musabaqah Tilawatil Qur'an Belia Asia Tenggara Kali ke-5 Tahun 1432 Hijriah / 2011 Masihi

pada hari Khamis (Malam Jumaat), 8 Zulkaedah 1432H bersamaan 6 Oktober 2011M

di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillah Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen,  Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Terlebih dahulu, beta mengucapkan selamat datang kepada para belia daripada negara-negara Asia Tenggara yang telah terpilih untuk menyertai Musabaqah Tilawatil Qur'an Belia Asia Tenggara Tahun 1432 Hijriah bersamaan 2011 Masihi.

Beta berpendapat bahawa perhimpunan belia-belia melalui musabaqah ini adalah merupakan lambang perpaduan ummah dan kerjasama serantau.

Perhimpunan seperti ini juga dapat dijadikan sebagai wadah untuk menanamkan kefahaman kepada masyarakat antarabangsa bahawa Islam adalah  ugama perpaduan dan keamanan sejagat.

Belia Islam ASEAN wajar berperanan untuk memberikan gambaran yang betul tentang Islam, kerana terdapat sebahagian dari masyarakat dunia yang memandang serong terhadap Islam itu. 

Walhal ugama Islam adalah cahaya, yang dengan jasanya jua, dunia jadi bersinar dan terkeluar daripada kegelapan jahiliah. 

Golongan belia turut memegang peranan penting untuk merealisasikan kewajipan-kewajipan besar mengangkat nama baik Islam serta melindunginya daripada diusik oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

Peranan seperti ini pernah dibuat dan diulukan oleh  belia-belia daripada kalangan mereka yang beriman di zaman silam. Sebagai contoh, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri, dari zaman belia Baginda lagi sudah pun bekerja dan berjuang untuk Islam.

Kemudian diikuti oleh para sahabat, yang antaranya termasuk nama-nama besar, seperti Sayyidina 'Ali, Sayyidina Ma'az  bin Jabal, Sayyidatina Asmaa' binti Abu Bakar Radiallahuanhum dan ramai lagi.  

Semua mereka itu adalah belia-belia belaka, yang tidak jemu-jemu bekerja untuk Islam. Belia-belia yang seperti inilah yang dirindui oleh dunia kita sekarang, khasnya dunia Islam, untuk membawanya keluar daripada kegelapan jahiliah moden yang sedang membelenggunya.

Pada masa ini, apabila disebut belia atau anak muda, mereka sering dikaitkan dengan masalah-masalah moral dan sosial. 

Perkara ini sebenarnya adalah mengaibkan, seolah-olah para belia atau anak muda itu adalah virus di dalam masyarakat, berbanding dengan para belia atau anak muda di masa silam adalah wira kebajikan.

Jadi berdasarkan ini, tidaklah para belia atau anak muda kita tersuntik untuk membuka label virus itu dan menukarnya dengan label wira kebajikan?

Pada hemat beta, sudah sampai masanya untuk dibuat perubahan untuk memperbaiki perspektif belia dan anak muda: dari dianggap sebagai  pembawa  dan penyebar virus sosial kepada pengubat atau perawat sosial.

Ke arah ini, perlu diadakan dan jika sudah ada, eloklah diteruskan usaha-usaha oleh pihak kerajaan dan bukan  kerajaan untuk menjadikan para belia itu agen masyarakat yang mampu mengatasi masalah dan bukannya yang mencipta masalah.

Bagaimana cara untuk memproduk belia yang seperti ini? Adakah sama seperti kita memproduk barangan? 

Jawabnya sama sekali tidak sama. 

Memproduk belia yang baik memerlukan mekanisme istimewa yang bersumber daripada ajaran Al-Qur'an, iaitu menyuruh mereka berbuat taat dan beramal salih.

Kalau ada ini, barulah dapat dianggap mereka itu sebagai belia yang ideal dan unggul.

Kerana itu, dianjurkan kepada belia supaya sentiasa berdampingan dengan Al-Qur'an, bacalah ia selalu-selalu untuk mengambil berkat dan pahala yang dijanjikan. 

Jangan pisahkan diri daripada Al-Qur'an, bawalah ia walau ke mana, seperti ketika bermusafir, untuk jadi teman di masa sunyi dan bersendirian. 

Sesungguhnya orang yang membaca Al-Qur'an itu, adalah seperti  saja dia sedang berkata-kata dengan Allah, kerana bukankah Al-Qur'an itu Kalamullah?

Insya-Allah, dengan cara begini, masalah yang banyak dikaitkan dengan belia dan remaja akan dapat diatasi dengan berkesan.


Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Titah
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
sempena
Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-7 Tahun 2012
pada
hari Sabtu, 20 Zulkaedah 1433 bersamaan 6 Oktober 2012
 bertempat
di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi rabbil’alameen, wabihee nasta’eenu ‘alaa umuriddunyaa waddeen,  wassalaatu wassalaamu ‘alaa asyrafil mursaleen, Sayyidina Muhammadin, wa’alaa aalihee wasahbihee ajma’een, waba’du.
Beta bersyukur kerana dapat pula menghadiri perhimpunan sambutan Hari Belia Kebangsaan pada pagi ini. Kepada para belia, beta rnengucapkan Selamat Menyambut Hari Belia Kebangsaan 2012.
Selaku warga dunia, Negara Brunei Darussalam adalah tidak terkecuali dari berhadapan dengan cabaran-cabaran yang dicetuskan oleh globalisasi. Ledakan teknologi maklumat yang semakin pesat dan canggih menyediakan ruang amat mudah untuk menyalurkan pelbagai agenda globalisasi itu, yang setengahnya membawa implikasi positif ataupun sebaliknya, terhadap aneka aspek kehidupan.
Di antara aspek paling mudah untuk dimasuki ialah sosiobudaya sesebuah negara dan bangsa. Ia akan melibatkan, terutamanya generasi belia dan malah ummah seluruhnya.
Inilah cabaran yang sangat perlu disedari. Kelalaian kita menghadapinya akan membawa padah dan bencana.
Para belialah benteng yang paling diharapkan. Kerana itu amat perlu bagi mereka untuk memiliki ‘daya tahan diri’ yang tinggi bagi menangkis segala gejala buruk dan jahat yang dicetuskan oleh globalisasi.
Pada masa ini, dunia kita sedang bergelora akibat tusukan tsunami yang bernama 'Innocence of Muslims' sebuah filem menghina Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, yang juga bererti menghina Ugama Islam sendiri.
Kita umat Islam adalah dituntut untuk menolaknya dan malah berhak untuk menyekat saluran laman sesawang, di mana ia berkaitan. Kerana sesungguhnya menghina Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam itu adalah suatu perbuatan yang tidak bertamadun lagi tidak bermoral, yang tidak dapat dimaafkan sama sekali.
Oleh itu pendirian kita adalah tegas membantahnya dan malah tidak boleh bertolak ansur untuk menerimanya sebagai kebebasan bersuara atau freedom of speech, kerana tiada siapa pun yang berhak untuk menghina sesuatu pihak, apatah lagi menghina seorang Nabi.
Pendirian kita ini juga adalah selaras dengan pendirian kebanyakan pendirian negara di dunia, khususnya negara-negara anggota OIC.
Beta suka mengingatkan, bahawa perbuatan menghina Nabi atau menghina ugama dalam apa pun bentuknya adalah tidak akan ada titik noktahnya selama mana ada matahari dan bulan. Tinggal sahaja, kita amat perlu waspada dan bijaksana menghadapinya. Kita umat Islam tidak usahlah hilang punca, tetapi yang penting, suburkan ilmu ugama di dada dan mintalah kepada Allah supaya Dia menetapkan iman, agar kita tidak terpedaya dengan agenda-agenda jahat oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungiawab.
Menyebut mengenai ilmu ugama, beta baru-baru ini telah mengisytiharkan Perintah atau Undang-Undang Pendidikan Ugama Wajib 2012 yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2013. Sehubungan ini, pihak yang berkenaan, eloklah mengambil kira, mana-mana kanak-kanak yang memang sudah sedia belajar ugama termasuk Al-Qur'an, di sekolah-sekolah seperti Sekolah Al-falaah dan sekolah Arab atau yang sebanding dengannya supaya ditimbangkan sama ada mereka itu boleh dikecualikan dari perintah ini, dalam makna tidak perlu lagi dibebankan dengan pelajar di Sekolah Ugama, seperti kanak-kanak lain yang bukan penuntut Sekolah Al-Falaah atau Sekolah Arab atau yang sebanding dengannya. Ini adalah munasabah dan praktikal, kerana pelajaran yang dipelajari di Sekolah Ugama itu, itulah juga yang dipelajari di Sekolah Al-Falaah dan Sekolah Arab.
Beta penuh yakin, langkah mewajibkan pendidikan ugama adalah langkah yang sungguh-sungguh tepat. Di samping sebagai keperluan asas, ia juga amat penting bagi survival masa depan kita. Cuba perhatikan sahaja kepada senario orang-orang menghina Nabi dan ugama yang tidak pernah berhenti itu, andainya kaum belia atau generasi kita lemah ugama atau miskin ilmu ugama, bagaimanakah mereka akan dapat menghadapinya kalau dada kosong atau ketandusan ilmu ugama?
Beta semakin terpanggil untuk menyebut perkara ini, setelah melihat tema sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini berbunyi: ‘Generasi Belia Syumul’.
Erti syumul ialah sempurna atau unggul.
Dalam makna di sini, kita adalah menginginkan belia-belia yang sempurna lagi unggul. Sesungguhnya keinginan ini memanglah wajar dan luhur. Tetapi bagaimanakah untuk kita mencapainya?
Jawabnya, bukanlah setakat dengan kata-kata, atau setakat azarn dan semboyan untuk jadi syumul atau sempurna itu. Ini semua belum memadai, tetapi lebih penting ialah ‘pengisian’ terhadap belia itu. Mereka perlu diisi dengan sesuatu, sehingga membolehkan mereka benar-benar menjadi sempurna atau syumul.
Dengan bahan apakah mereka itu mesti diisi? Jawabnya dengan ‘ilmu’. Kerana tidak ada kuasa lebih hebat dari kuasa ilmu. Ilmulah yang menentukan keupayaan dan status seseorang, sama ada di sisi Allah mahupun di sisi manusia sendiri.
Dalam makna, usaha kita untuk melahirkan Generasi Belia Syumul, mestilah selari dengan usaha mengisi belia-belia tersebut dengan ilmu pengetahuan, khasnya ilmu ugama.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Titah
Di Majlis Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Kali Ke-6 Tahun 1435 Hijrah / 2013 Masehi
Pada Hari Isnin 7 Safar 1435 / 9 Disember 2013
Bertempat Dewan Plenary Di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, Negara Brunei Darussalam


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
ALHAMDULILLAHI Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Terlebih dahulu, Beta mengucapkan selamat datang kepada para belia dari negara-negara Asia Tenggara yang menyertai Musabaqah Tilawatil Qur’an Belia Asia tenggara tahun 1435 hijriah bersamaan 2013 Masihi.
Negara Brunei Darussalam telahpun menyempurnakan komitmennya menjadi tuan rumah kepada Sidang kemuncak ASEAN tahun 2013 dengan tema ‘Our People, Our Future Together’. Pada siding tersebut, ketua-Ketua Negara ASEAN telah memberikan tumpuan keatas pembangunan golongan belia, sumbangan golongan belia kepada pertubuhan ekonomi serantau dan ke arah meningkatkan lagi persefahaman serta perpaduan melalui program-program pertukaran dan sukarelawan,yang boleh memberikan impak, bukan sahaja kepada individu tetapi juga masyarakat seluruhnya, melalui penglibatan para belia mencapai matlamat Komuniti ASEAN.
Ke arah pencapaian kesatuan ASEAN, para belia adalah penggeak utamanya. Mereka menjadi penyumbang kepada perpaduan dan kesejahteraan ummah. Lebih-lebih lagi bagi para belia muslim, mereka menjadi nilai tambah kepada semua harapan dan cita-cita, kerana mereka itu tidak akan lari dari tujuan asal mencari pahala, dalam apapun kegiatan atau perjuaan mereka. Jika mereka mahukan perpaduan, maka perpaduan iu adalah perpaduaan di jalan Allah sebagai memenuhi tuntutan-Nya jua, seperti mana maksud ayat: ‘’Hendaklah kamu berpegang teguh dengan tali Allah (ugana-Nya) dan jangan lah kamu berpecah belah’’.
Adapun perbezaan budaya dan politik di kalangan masyarakat serantau, tindakan seharusnya menjadi halangan untuk berbaik-baik, sebaliknya kepeibagaian (diversity) tersebut adalah landasan untuk saling kenal mengenali, hidup harmoni dan saling bekerjasama, selaras dengan firman Allah di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13 tafsirnya:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui Lagi Maha Teliti”.
Perkara ini hanya akan dapat terlaksana apabila para belia Islam kita sendiri mempunyai kefahaman yang mendalam tenteng kandungan Al-Qur’an. Di sinilah pentingnya belia-belia Islam di rantau ASEAN mendekatkan diri kepada Al-Qur’an dan selakigus memahami, menghayati dan mempraktikkan segala ajarannya.
Al-Qur’an adalah panduan sepanjang Zaman. Ia tidak pernah lapok, seperti kitab atau buku lain lapok. Ia adalah cahaya yang tidak pernah malap. Marilah baca dan gunakan ia tanpa jemu-jemu. Orang yang membacanya adalah orang hebat pada hari Kiamat kelak. Mereka akan bersuluh dengan Al-Qur’an itu, insya Allah.
Hayatilah sejarah, betapa Rasulullahi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah mentarbiah para sahabat dan pengikut Beginda dengan Al-Qur’an, sehingga melahirkan belia-belia dan pejuang-pejuang yang sanggup berjuang untuk Islam. Mereka berperibadi dengan peribadi Al-Qur’an, berperangai dengan perangai Al-Qur’an, berjiwa dan bersemangat dengan jiwa dan semangat Al-Qur’an. Mereka inilah pembina tamadun yang sebenar-benarnya.
Para belia Islam mestilah menunjukkan contoh kepada dunia, bahawa mereka bukan sahaja berilmu, tetapi juga berhias dengan akhlak Al-Qur’an. Akhlak Al-Qur’an itu diantaranya ialah: amanah, ihsan, adil, suka kepada kebajikan dan benci kepada mungkar. Jika ini ada, Beta yakin, sudah tentulah ia adalah merupakan sumbangan paling berharga kepada dunia dan kemanusiaan.

Sekian Wabillahit Taufeq Waihidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah
Di Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-8 Tahun 2013
Bertempat Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara
Hassanal Bolkiah, Berakas

 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
ALHAMDULILLAHI Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘AlaaAsyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, hari ini kita dapat bersama-sama lagi berkumpul dalam perhimpunan sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali kelapan. Beta sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Hari Belia Kebangsaan 2013 kepada semua para belia di Negara Brunei Darussalam.
Untuk mengetahui corak kepimpinan sesebuah negara, kita perlu melihat kepada generasi belia, kerana belialah bakal peneraju kepimpinan di masa akan datang. Mereka perancang dan penggerak satu-satu pembangunan. Makanya, belia itu menjadi tumpuan dan perhatian dalam perbincangan-perbincangan serantau dan antarabangsa.
Pada masa ini, para belia diseluruh dunia terus berhadapan dengan pelbagai cabaran, diantaranya dalam persaingan untuk mendapatkan pekerjaan. Isu penganggura, jika tidak ditangani secara berpadu, akan mungkin saja menyebabkan kestadilan sesebuah negara turut tergugat.
Menurut jangkaan daripada pihak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pada tahun 2009, jumlah pengangguran belia adalah 76 juta. Itu adalah sebelum krisis kewangan melanda dunia. Anggaran ini turun kepada 72 juta sebaik sahaja ekonomi kembali pulih pada tahun 2011. Walau bagaimana pun jumlah pengangguran di kalangan belia adalah dijangka meningkat pada tahun ini kepada 73 juta.
Negara kita tidalah terkecuali dari mengalami perkara yang sama, di mana seramai lebih kurang 18 ribu belia adalah dalam katergori mencari pekerjaan.
Menyedari akan hakikat, Kerajaan Beta melalui sebuah badan khas, akan terus mengambil langkah-langkah perlu bagi menangani perkara ini. Diantaranya, akan terus melengkapkan para belia dengan ilmu dan kemahiran. Beta sangat gembira, kerana sekolah-sekolah vokasional, baik yang di pihak Kerajaan mahupun swasta, telah banyak menawarkan pelbagai bidang kemahiran untuk diteroka oleh para belia.
Namun begitu, cabaran lain juga adalah menunggu, iaitu terdapatnya ketidaksepadanan atau ‘mismatch’ dalam pasaran buruh, dari aspek pembekalan (supply) dengan permintaan (demand) yang juga banyak menyumbang kepada terjadinya pengangguran. Kerana itu, Beta menyeru kepada semua pihak yang berkaitan untuk meningkatkan lagi usaha san strategi dalam kerjasama membangun kapasiti para belia dan menyediakan persekitaran yang kondusif, bagi memperkesankan lagi langkah menangani masalah pengangguran.
Dalam waktu yang sama para belia perlu menukar ‘mindset’ ke arah perubahan sikap, dimana mereka tidak akan terlalu bergantung kepada Kerajaan untuk mendapatkan pekerjaan. Para belia semestinya lebih bersedia untuk merebut peluang disektor swasta dan dibidang keusahawanan.
Beta tertarik dengan tema Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini iaitu: ‘Belia Menuju Wawasan’. Belia Menuju Wawasan sewajarnya mempunyai jati diri yang kental, berakhlak mulia serta bertanggungjawab. Belia Menuju Wawasan selayaknya mempunyai sikap dan pendirian yang teguh dalam mendokong semua usaha yang baik.
Ke arah menunju wawasan negara, golongan belia perlulah peka dengan cabaran-cabaran yang dicetuskan oleh keadaan sekeliling, khususnya mereka perlu menyedari, bahawa budaya terlalu suka berseronok adalah berpotensi membawa kepada keruntuhan.
Masa kini, kita sedang bergerak kearah pelaksaan Undang-Undang Jenayah Syar’iah. Beta berharap para belia tidak ketinggalan untuk mendukungnya. Kewajipan mereka juga termasuk, untuk memahami dan mendalami serta mengetahui pengertian-pengertian yang terkandung didalamnya. Dengan demikian itu, para belia akan menjadi golongan yang lebih matang dalam perkara ini.
Dalam bidang kerja-kerja sukarelawan, Beta sungguh bangga kerana ramai para belia kita terlibat dengan kerja-kerja sukarelawan, baik didalam mahupun di luar negara. Lebih-lebih lagi Negara Brunei Darussalam telah mempelopori “ASEAN Young Proffessinal Volunteer Corps” untuk memberikan khidmat sukarelawan didalam pelbangai bidang kepada masyarakat dalam Negara-Negara ahli yang memerlukannya.
Budaya sukarelawan ini sangat elok, kerana ia bukan saja dapat mengkatkan perpaduan dan persefahaman, malah juga boleh mendatangkan pahala.
Beta berharap semua langkah-langkah yang berkebajikan ini akan terus diperkasakan sehingga mencapai kecemerlangannya.

Sekian Wabillahit Taufeq Walhiyadayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah
Di Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-8 Tahun 2013
Bertempat Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara
Hassanal Bolkiah, Berakas

 
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  bertitah sempena Hari Belia Kebangsaan pada hari Isnin, 28 Syawal 1432 Hijriah, 26 September 2011 Masihi bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kerana sekali lagi dapat bersama-sama menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan pada pagi ini. Kepada para belia, beta mengucapkan selamat menyambut Hari Belia Kebangsaan 2011. Beta juga merakamkan penghargaan di atas khidmat bakti para belia terhadap negara.

Tema Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini ialah Belia Berkreatif dan Berinovasi. Ini membawa makna, para belia dikehendaki supaya lebih kreatif dan inovatif.

Mereka juga digalakkan untuk terus menerokai segala bidang, sambil sentiasa up-to-date dengan perkembangan. Kita gembira, kerana terdapat sebilangan belia yang berbakat telah berjinak-jinak dengan perusahaan atau perniagaan. Mereka menggunakan daya kreativiti mereka melalui kaedah teknologi infokomunikasi atau ICT. Usaha ini sungguhlah membanggakan.

Pihak kerajaan beta dengan kerjasama pihak-pihak swasta akan menyediakan persekitaran yang lebih kondusif dengan memberikan sokongan dan dukungan melalui pembangunan kapasiti, penyediaan kemudahan infrastruktur dan pembukaan peluang pemasaran kepada para belia, agar mereka itu dapat memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di dalam dan luar negeri.

Mengenai Industri Kreatif, para belia perlu merebut peluang tersebut, kerana di negara ini, banyak bidang yang dapat diteroka, khususnya bidang seni tradisi budaya. Bidang ini merupakan warisan berharga, yang boleh diketengahkan melalui strategi pemasaran berkesan, sebagaimana dilakukan oleh negara-negara maju. Ini juga akan boleh menarik para pelancong, dan sekali gus akan membuka peluang pekerjaan bagi anak-anak muda kita.

Beta percaya, setiap pencapaian oleh para usahawan belia akan menjadi penggalak dan pemangkin kepada para belia yang lain untuk menceburkan diri dalam dunia keusahawanan.


Inilah caranya peluasan industri kreatif, ia bergantung kepada penglibatan banyak pihak, di samping kemahuan kuat daripada pengusaha sendiri. Penglibatan itu termasuklah memberikan perlindungan undang-undang seperti undang-undang hak milik, kemudahan-kemudahan asas dan latihan-latihan. Jika ini ada, beta percaya, industri kreatif yang telah sedia ada pasti akan bertambah teguh dan maju, sementara dalam masa yang sama pula akan menggalakkan lagi para belia lain yang belum menceburinya akan menceburi bidang yang bermanfaat ini.

Bagi aktivit-aktiviti atau program-program secara umum pula, beta adalah mengalu-alukan usaha pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, melalui Jabatan Belia dan Sukan untuk menyedikan tempat di setiap daerah bagi para belia berkumpul dan mengadakan aktiviti atau program yang berfaedah. Beta percaya langkah untuk mempertingkatkan lagi kemajuan melalui usaha rebranding atau penjenamaan semula Pusat-Pusat Belia di seluruh negara adalah sebagai tepat pada waktunya. Ia bukan saja dimaksudkan untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan, tetapi lebih utama akan dijadikan sebagai tempat mendapatkan khidmat nasihat dan menghasilkan produk karya seni dan kebudayaan yang bermanfaat.

Beta difahamkan bahawa langkah yang diambil bagi penjenamaan semula Pusat-Pusat Belia ini adalah hasil daripada dialog di antara pihak berkuasa dengan kumpulan sasaran iaitu kumpulan belia sendiri. Ini bererti, pembentukan aktiviti atau progam yang bakal dilaksanakan itu adalah mengambil kira cita rasa para belia juga. Ini wajar, kerana kaum belia memang layak untuk menjadi penjana dan pelopor.

Dengan yang demikian, beta mengambil kesempatan di sini untuk menyeru kepada kaum belia bagi sama-sama menjayakan matlamat menjadikan Pusat-Pusat Belia tersebut sebagai pusat beriadah, belajar, beramal dan  berbakti kepada diri sendiri, ugama, bangsa dan negara.

Seperti pernah beta sebutkan, pembangunan jati diri di kalangan para belia adalah mustahak.

Ia berguna sebagai persediaan untuk menempuh pelbagai cabaran hidup. Jati diri adalah kekuatan sebenar, sebagai pelengkap dalam menjalankan khidmat.

Sehubungan ini, beta sukacita mengumumkan bahwa satu projek rintis ke arah melaksana Program Khidmat Bakti Negara atau PKBN akan dilancarkan pada Disember ini, ia bertujuan untuk mewujudkan satu Program Perkhidmatan Bakti Negara yang terbaik.


Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.