BERITA TERKINI
13

Generasi muda terdedah dengan pelbagai pengaruh

posted on
Generasi muda terdedah dengan pelbagai pengaruh
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 11 Mei. - Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan kelolaan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang telah dilaksanakan sejak tahun 1980-an telah berjaya melahirkan banyak qari dan qariah belia yang berkaliber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
 
Di samping itu, ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau tarannum.
 
Malam tadi, berlangsung Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir 1438 / 2017 di Dewan Digadong, KKBS, di sini, yang dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku tetamu kehormat majlis.
 
Menurut Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam kerancakan dan kepesatan pembangunan dunia moden, generasi muda kini terdedah dengan pelbagai pengaruh dan kemungkinan kerosakan baik dari segi jasmani mahupun rohani.
 
Secara ringkasnya tegas Yang Berhormat, kita melihat perkara itu sebagai miskin kerohanian yang merupakan penyakit sosial yang lebih bahaya, dari itu penekanan dalam membanteras kemiskinan rohani merupakan antara hikmah kewujudan agama Islam dan Al-Quran diturunkan.
 
Sehubungan itu, saran Yang Berhormat, peranan ibu bapa dan semua pihak perlu berganding bahu di dalam memastikan pendidikan sepadu melalui penerapan ilmu Al-Quran dalam program-program atau aktiviti belia.
 
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada para pemenang, johan qari disandang oleh Awang Ahmad Zulwaqar bin Suhaili, sementara johan qariah disandang oleh Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri.
 
Johan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai BND2,000, piala iringan dan sijil penyertaan.
 
Sementara naib johan qari dan qariah masing-masing dijuarai oleh pasangan adik-beradik, iaitu Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri dan Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri dengan menerima wang tunai BND1,500, piala iringan dan sijil penyertaan.
 
Di tempat ketiga qari dan qariah pula jatuh kepada Awang Muhammad Sa'adun bin Suhaili dan Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Marjuki, yang masing-masing membawa pulang wang tunai BND1,000, piala iringan dan sijil penyertaan.
 
Manakala peserta qari dan qariah yang menerima hadiah saguhati masing-masing menerima wang tunai BND500, piala iringan dan sijil penyertaan.
 
Seramai 10 peserta, iaitu empat qari dan empat qariah bertanding di peringkat akhir berserta dua orang johan menunggu (Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 1437 / 2016) memperdengarkan bacaan masing-masing.
 
Musabaqah Tilawatil Quran antara lain bertujuan sebagai wadah bagi melahirkan qari dan qariah yang berpotensi tinggi sebagai pelapis qari dan qariah Negara Brunei Darussalam yang juga untuk mempertingkatkan mutu pembacaan Al-Quran dalam kalangan belia serta memupuk dan menyemai rasa persahabatan dalam kalangan peserta belia melalui program kegamaan.
 
Selain itu, musabaqah ini juga sebagai persediaan pemilihan wakil negara ke Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran KKBS.
 
 
Sumber: Pelita Brunei

 

Return