BERITA TERKINI
11

Hidupkan kembali Sukan Judo

posted on
Hidupkan kembali Sukan Judo
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 10 Mei. - Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Japan Foundation Asia Center dan Kodokan Judo Institute akan menganjurkan Program Pertukaran Judo bermula 15 hingga 18 Mei 2017.
 
Sehubungan dengan itu, sebagai langkah pertama ke arah Program Pertukaran Judo di Negara Brunei Darussalam, satu sesi Demonstrasi Judo yang meliputi bentuk-bentuk asas dan teknik Judo akan diadakan pada hari Selasa, 16 Mei 2017 bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah bermula jam 9.00 pagi.
 
Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Pertama Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Junko Kurihara dalam satu Sidang Media mengenai Program Pertukaran Judo 'Projek Japan - ASEAN Jita-Kyoei' bertempat di Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Kampung Kiulap, di sini.
 
Demonstrasi Judo tersebut ujarnya, akan dipersembahkan oleh dua orang tenaga pengajar Judo dari Kodokan Judo Institute yang didatangkan oleh Japan Foundation Asia Center.
 
Menurut beliau, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan turut mengadakan sesi lain bagi meningkatkan lagi profil Judo di negara ini antara 15 hingga 17 Mei 2017.
 
Sementara itu, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, KKBS, Awang Haji Zafri bin Haji Mohamed berkata sukan Judo sudah lama bertapak di negara ini dan melalui program pertukaran ini diharap akan dapat menghidupkan kembali sukan tersebut.
 
Judo tambahnya, dapat menyumbang kepada pembangunan kesihatan dan kesejahteraan bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan diharapkan melalui program pertukaran ini akan dapat mengukuhkan lagi persefahaman antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun.
 
Manakala, Ketua Unit Jasmani Kementerian Pendidikan, Pengiran Jusri bin Pengiran Haji Hassim berkata sesi percubaan judo juga akan diadakan dengan melibatkan para penuntut yang telah dijemput dari beberapa buah sekolah menengah di negara ini.
 
Ke arah itu, KKBS mengajak peminat sukan Judo untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi Demonstrasi Judo pada 16 Mei 2017 nanti.

 

Return