BERITA TERKINI
08

Acara kemuncak Hari Keluarga Kebangsaan meriah- Riadah dan Kayuhan Keluarga Harmoni eratkan Raja dan rakyat

posted on
Acara kemuncak Hari Keluarga Kebangsaan meriah- Riadah dan Kayuhan Keluarga Harmoni eratkan Raja dan rakyat
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 7 Mei. - Suasana di ibu negara sangat meriah apabila semua lapisan masyarakat dan seisi keluarga sama-sama menyertai acara kemuncak Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2017 tahun ini iaitu Riadah dan Kayuhan Keluarga Harmoni 2017.
 
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai acara Riadah dan Kayuhan Keluarga Harmoni yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien (SOAS), di ibu negara.
 
Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.
 
Keberangkatan baginda dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.
 
Terdahulu, acara kayuhan sejauh 12 kilometer dimulakan dengan pelepasan sebanyak 20 belon oleh peserta kanak-kanak.
 
Kayuhan turut disertai oleh Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Duta-duta serta perwakilan negara asing, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, para jemputan dan orang ramai termasuk warga asing.
 
Kayuhan melalui jalan-jalan utama iaitu Jalan Pretty; Jalan Elizabeth Dua; Jalan Masjid Omar 'Ali Saifuddien; Jalan Kianggeh; Jalan Sekolah; Jalan Kumbang Pasang; Jalan Lapangan Terbang Lama; Jalan Muhibbah; Jalan Landasan Lama; Jalan Menteri Besar; Jalan Perdana Menteri; Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien melimpasi beberapa buah bangunan ikonik seperti Masjid Sultan Omar 'Ali Saifuddien; Dermaga; Bangunan Lapau; Pusat Belia; Bangunan Jabatan Perdana Menteri; Bangunan Alat Kebesaran Diraja dan Bangunan Sekteriat.
 
Kebawah DYMM beserta kerabat diraja kemudiannya berkenan menyaksikan perbarisan lintas lalu daripada ahli-ahli keluarga yang terdiri daripada cucu, anak, ibu bapa dan nenek berbasikal sebelum dijunjung berangkat menandatangani papan penghargaan / terima kasih.
 
Selepas berbasikal, baginda berkenan berangkat bercemar duli menyaksikan lebih dekat kemeriahan Riadah Keluarga di Bandarku Ceria dengan berbagai jenis aktiviti mengikut kluster seperti kesukanan, keugamaan, keusahawanan, kemasyarakatan dan kewangan dan seterusnya berkenan menyertai perlawanan tarik kalat bersama Ahli-ahli Persatuan Tarik Kalat Brunei Darussalam.
 
Baginda bersama ahli-ahli kerabat diraja kemudian berkenan berangkat melawat petak-petak jualan Bandarku Ceria yang berada di sekitar Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.
 
Kluster Kesukanan terdiri daripada Demonstrasi Sukan Tarik Kalat, Lumba Perahu, Lumba Basikal dan Pertunjukan Seni  Mempertahankan Diri (Martial Arts).
 
Persatuan Tarik Kalat Brunei Darussalam turut memperlihatkan gambar-gambar penglibatan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Al-Marhum Ayahanda baginda dalam sukan Tarik Kalat pada tahun 70-an termasuk piala-piala kejohanan yang telah dijalankan oleh persatuan tersebut.
 
Manakala bagi Persatuan Lumba Perahu Brunei Darussalam menunjukkan gambar-gambar yang berkaitan dengan sukan Lumba Perahu, pameran kelengkapan berkayuh dahulu dan sekarang, pengayuh, jaket keselamatan dan perahu lumba serta demonstrasi berkayuh dalam perahu dan kecergasan (fitness).
 
Persekutuan Basikal Brunei Darussalam pula memperlihatkan gambar-gambar yang berkaitan dengan sukan Lumba Basikal, pameran kelengkapan berbasikal yang terdiri daripada tujuh buah basikal pertandingan dan mengadakan pertandingan 'push bike'.
 
Sementara itu, Skim Seni Mempertahankan Diri (Martial Arts) juga membuat Pertunjukan Seni Bela Mempertahankan Diri yang terdiri daripada sukan-sukan Wushu, Pencak Silat, Karatedo, Taekwando dan Kempo.
 
Selain itu, acara-acara kekeluargaan yang berbentuk telematch seperti meniup belon, menarik daun nipah, peraduan boling kelapa juga diadakan yang diungkayahkan oleh Majlis Perundingan Mukim dan Kampung megikut zon-zon di Daerah Brunei Muara.
 
Pertunjukan-pertunjukan seperti Pertunjukan Burung Helang dan Kakak Tua serta Pertandingan Suara Burung juga turut memeriahkan lagi keceriaan Riadah dan Keluarga Harmoni di Bandarku Ceria.
 
Para peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang sudah seperti biasanya berniaga di Bandarku Ceria memang setentunya tidak melepaskan peluang berjaja pada hari tersebut begitu juga agensi-agensi swasta seperti Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) juga turut serta mempromosikan produk-produk kekeluargaan.
 
Riadah dan Kayuhan Keluarga Kebangsaan 2017 merupakan acara yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kesihatan dengan penglibatan semua kementerian lain serta Persekutuan Basikal Brunei Darussalam.
 
Kejayaannya mencerminkan bagaimana pendekatan keseluruhan negara yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat termasuk pihak bukan kerajaan atau NGOs adalah sangat berkesan, apatah lagi jika digunapakai dalam memajujayakan program-program pembangunan negara.
 
Acara ini menggabungkan aspek gaya hidup sihat dan rekreasi di mana penglibatan aktif dan penghayatan budaya sukan oleh setiap ahli keluarga akan mewujudkan masyarakat yang sihat dan memupuk perpaduan negara.
 
 
Sumber: Pelita Brunei

 

Return