BERITA TERKINI
03

Beri saingan, jangan disalahgunakan peluang

posted on
Beri saingan, jangan disalahgunakan peluang
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 Mei. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien bersabda, menyeru para atlet yang terpilih menyertai Sukan Perpaduan Islam Ke-4 (4th Islamic Solidarity Games), Baku, Azerbaijan 2017 supaya menggunakan kesempatan bukan saja dari segi menimba pengalaman, malahan untuk memberikan saingan yang sepenuhnya dalam penyertaan dan jangan pula peluang yang diberikan disalahgunakan ataupun disia-siakan.
 
Duli Yang Teramat Mulia yang juga selaku Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) seterusnya bersabda mengucapkan syabas dan tahniah kepada atlet-atlet yang terpilih dan mengharapkan supaya sentiasa akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya dan fokus yang tinggi dalam setiap perlawanan.
 
Sabda DYTM tersebut disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof pada Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke sukan berkenaan yang berlangsung di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
 
Dalam sabda DYTM juga merakamkan ucapan tahniah kepada persatuan sukan kebangsaan masing-masing, jurulatih yang berdedikasi dan terutamanya kepada ibu bapa atlet-atlet kerana memberikan sokongan dan dorongan yang berterusan kepada mereka.
 
DYTM juga bersabda menasihatkan kepada semua atlet dan pegawai bahawa komitmen kepada negara harus mempunyai tanggungjawab serta disiplin yang tinggi semasa berada di Republik Azerbaijan nanti.
 
Dalam sabda DYTM menambah, dengan berbekalkan berkat dan usaha yang bersungguh-sungguh serta bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala, InsyaaAllah kita akan meraih kejayaan dan ini adalah komitmen yang harus dipikul dan ditunaikan oleh para atlet untuk meraih kecemerlangan dan seterusnya mengharumkan nama negara.
 
 
Sumber: Pelita Brunei 

 

Return