BERITA TERKINI
03

Tunjukkan semangat sukan tulen

posted on
Tunjukkan semangat sukan tulen
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 Mei. - Aspirasi seluruh warga sukan tanah air sudah barang tentu untuk melihat kejayaan di gelanggang persada global.
 
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof berkata, kejayaan juga sebenarnya adalah pemilihan atlet-atlet ke kejohanan ini seperti memberi cerminan kepada semangat mereka untuk menembusi atmosfera dunia sukan itu yang kini dibanjiri bintang-bintang muda yang tidak kurang hebatnya.
 
“Kejayaan juga ialah bila mana atlet menunjukkan semangat kesukanan yang tulen iaitu semangat bersaing dengan mengikut undang-undang dan peraturan sukan tanpa tujuan untuk bermusuhan, sengaja menyebabkan kecederaan kepada peserta lain atau penipuan temasuk pengambilan ubat-ubatan terlarang”, ujar Yang berhormat pada Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Perpaduan Islam Ke-4 (4th Islamic Solidarity Games), Baku, Azerbaijan 2017 yang berlangsung di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
 
Yang Berhormat menyarankan kepada para atlet untuk percaya dan yakin bahawa seluruh warga sukan tanah air berada memberikan sokongan padu dan atlet-atlet adalah wira dihati penggemar, penggiat dan elit sukan yang lain untuk dikalungkan pingat dan mendengar lagu negara berkumandang.
 
Atur cara diteruskan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Pengarah Program Khidmat Bakti Negara, Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail selaku Chef de Mission Kontinjen.
 
Negara Brunei Darussalam akan menghantar kontinjen bagi menyertai ke temasya sukan tersebut yang akan bermula pada 12 hingga 22 Mei 2017 di Baku, Azerbaijan 2017.
 
Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai enam orang terdiri daripada Chef de Mission, dua orang atlet, dua orang jurulatih dan seorang pegawai urusetia.
 
Turut hadir, Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abd Samad dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil serta ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan dan Penilaian Atlet.
 
 
Sumber: Pelita Brunei 

 

Return