BERITA TERKINI
03

Atlet negara berazam lakukan terbaik

posted on
Atlet negara berazam lakukan terbaik
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 Mei. - Kontinjen Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak dua acara sukan yang akan dipertandingkan pada temasya Sukan Perpaduan Islam Ke-4 (4th Islamic Solidarity Games), Baku, Azerbaijan 2017 iaitu sukan Olahraga bagi Acara 200m Lelaki dan sukan Karate bagi Acara Kumite - 60kg.
 
Kontinjen negara dianggotai seramai enam orang terdiri daripada Pengarah Program Khidmat Bakti Negara, Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail selaku Chef de Mission, Jurulatih Kebangsaan Sukan Olahraga, Isidro Del Prado sebagai Jurulatih Olahraga kepada Atlet Olahraga Acara 200m Lelaki iaitu Mohd. Noor Firdaus Ar-Rasyid bin Haji Md. Idris, Jurulatih Kebangsaan Sukan Karate, Okhida Simangasing sebagai Jurulatih Karate kepada Atlet Karate Acara Kumite - 60kg iaitu Muhd Fida’iy bin Haji Sanif dan Pekerja Kanan Belia dan Sukan, Awang Bakhtiar bin Haji Buntan sebagai Pengawal Urusetia.
 
Semasa temu bual, Okhida Simangasing berkata, persiapan telah dibuat, hanya tinggal menghalusi atlet dengan memfokuskan kepada mental dalam pertandingan.
 
Beliau berharap agar atletnya akan melakukan yang terbaik untuk Brunei Darussalam dan membawa pulang kejayaan yang diingini.
 
Manakala bagi Muhd Fida’iy pula berharap agar dapat memperolehi pingat dan jika diizinkan Allah Subhanahu Wata’ala untuk mencipta sejarah disana dalam sukan Karate.
 
Jelasnya lagi, dengan membuat persiapan sejak tahun lepas bersama jurulatih, adanya peningkatan dari masa ke masa.
 
Islamic Solidarity Games atau Sukan Perpaduan Islam merupakan sebuah temasya sukan yang membabitkan atlet daripada negara anggota Organisation of Islamic Cooperation (OIC) dan Islamic Solidarity Sports Federation (ISSF) ialah pertubuhan yang bertanggungjawab dalam hala tuju dan pengurusan Sukan Perpaduan Islam.
 
Edisi pertama Sukan Perpaduan Islam telah diadakan di Mekah, Arab Saudi pada tahun 2005 dan Edisi kedua Sukan Perpaduan Islam yang sepatutnya diadakan di Teheran, Iran pada tahun 2010 telah dibatalkan atas sebab-sebab tertentu.
 
Manakala edisi ketiga Sukan Perpaduan Islam telah berlangsung pada tahun 2013 di Palembang, Indonesia.
 
Pada Sukan Perpaduan Islam di Palembang, Indonesia, kontinjen negara telah berjaya memperolehi 1 pingat perak bagi Acara Wushu Men‘s Duillian melalui gandingan Awang Md. Sufi Shayiran bin Roslan dan Mohammad Adi Sya‘rani bin Roslan.
 
 
Sumber: Pelita Brunei

 

Return