BERITA TERKINI
25

Lebih 900 peserta sertai Larian Kebangsaan 2017

posted on
Lebih 900 peserta sertai Larian Kebangsaan 2017
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 23 April. - Lebih 900 peserta menyertai Larian Kebangsaan 2017 yang bermula di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara, di sini.
 
Larian Kebangsaan 2017 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33 merupakan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Olahraga Negara Brunei Darussalam.
 
Hadir sama menyertai acara larian bagi Kategori 'Fun Run' ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
 
Juga hadir sama menyertai Larian Kebangsaan berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar serta Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.
 
Terdahulu sesi senaman pemanasan badan diikuti dengan pelepasan acara berkenaan oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengikut kategori, iaitu Kategori Lelaki Terbuka 5 kilometer (km), Kategori Wanita Terbuka 5 km dan Kategori Fun Run.
 
Bagi Kategori Lelaki Terbuka 5 km dijuarai oleh Ammouta Youmes, sementara menduduki tempat kedua Awang Sifli Ahar dan di tempat ketiga, Awang Md. Waiz Rusyadi Md. Shahrun.
 
Sementara itu, Kategori Wanita Terbuka 5 km mendahului garisan ialah Vanessa Lobb, berada di tempat kedua ialah Yenny Muslim dan di tempat ketiga, Leong Sheo Yee.
 
Para pemenang bagi Kategori Lelaki dan Wanita Terbuka 5 km masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah BND300, BND200 dan BND100 berserta medal dan sijil penyertaan.
 
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyempurnakan penyampaian hadiah bagi Kategori Wanita Terbuka 5 km, sementara bagi Kategori Lelaki Terbuka 5 km disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan.
 
Larian yang bertemakan 'Menjayakan Wawasan Negara' itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan menjana integrasi dalam kalangan generasi belia dengan berbagai 'stakeholders' yang berkaitan di seluruh negara.
 

 

Return