
.jpeg)

.jpeg)
.jpeg)
Jabatan Belia dan Sukan melalui Unit Kejurulatihan dan Pembangunan Sukan (UKPS), Bahagian Sukan telah mengadakan Majlis Penutup Metodologi Latihan Berprestasi Tinggi: Kursus Perancangan dan Periodisasi Tahun 2026 hari ini bertempat di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan.
Atur cara majlis dimulakan dengan ucapan daripada Yang Mulia Md Nabil bin Abdul Malik selaku wakil peserta kursus, diikuti dengan menyaksikan tayangan video sepanjang kursus dijalankan, dan diselajurkan dengan penyampaian sijil yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis. Sebelum majlis diakhiri, Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Mulia Younes Ammouta.
Pembangunan atlet berprestasi tinggi memerlukan latihan yang terancang, berstruktur dan berasaskan sains, termasuk pengurusan beban serta pemantauan adaptasi bagi memastikan prestasi optimum. Metodologi Latihan Berprestasi Tinggi: Kursus Perancangan dan Periodisasi ini dianjurkan untuk memperkasa jurulatih melalui aplikasi periodisasi moden dan perancangan kitaran Latihan yang sistematik, sekali gus membantu membuat keputusan berasaskan data, mengurangkan risiko kecederaan dan memastikan prestasi puncak dicapai secara strategik. Inisiatif ini selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dan Pelan Strategik Kementerian 2026-2030 dalam memperkukuh system sukan negara, meningkatkan kepakaran tempatan serta membangunkan atlet yang konsisten dan berkualiti tinggi.
Kursus yang diadakan selama dua hari ini antara lain bertujuan untuk memperkasa kompetensi jurulatih dalam perancangan latihan saintifik, disamping meningkatkan kualiti kejurulatihan negara dan membina pembangunan atlet secara berperingkat dan mampan serta dapat mengoptimumkan prestasi dan pembangunan menyeluruh atlet, selain dapat menjamin keselamatan, motivasi dan keberkesanan latihan.
Dengan adanya kursus ini, para peserta dijangka dapat meningkatkan keupayaan jurulatih membuat keputusan latihan secara lebih saintifik dan berasaskan data, sekali gus mengurangkan risiko overtraining, keletihan melampau dan kecederaan. Pendekatan ini bukan sahaja membantu memaksimumkan potensi prestasi atlet, malah menyokong pembangunan atlet secara berterusan, progresif dan selaras dengan piawaian latihan berprestasi tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.