









Pada tahun ini, Jualan Kuih-Muih Raya Belia telah dilaratkan ke Pusat Belia Daerah Belait dan Pusat Belia Daerah Tutong.
Majlis Pelancaran di Daerah Belait telah diadakan pada sesi pagi. Manakala Majlis Pelancaran di Daerah Tutong telah diadakan pada sesi petang.
Hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran di kedua-dua daerah ialah Yang Mulia Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili, Isteri Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku tetamu kehormat.
Majlis dimulakan dengan perasmian Jualan Kuih-Muih Raya Belia 2026 oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat. Majlis diteruskan dengan penyerahan sumbangan bantuan yuran petak daripada Kumpulan Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu kepada vendor yang berkeperluan seperti ibu tunggal dan belia. Majlis diteruskan dengan sesi bergambar ramai dan diakhiri dengan lawatan ke petak-petak jualan.
Sebanyak enam (6) buah petak jualan di Pusat Belia Daerah Belait dan Lapan (8) buah petak jualan di Pusat Belia Daerah Tutong telah disediakan bagi peniaga tempatan yang terdiri daripada kumpulan belia bagi menyertai jualan ini, yang mana telah dilaratkan lagi dengan penjualan pelbagai produk kuih-muih serta produk barangan yang lain.
Jualan Kuih-Muih Raya Belia merupakan anjuran Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang bermula pada 9 hingga 18 Mac 2026 mulai pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi dan membeli-belah produk kuih-muih dan barangan yang ada sebagai tanda sokongan kepada produk tempatan serta membantu peniaga-peniaga memperolehi pendapatan bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.