Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

12.01.2026 | Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Delegasi Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara Dan Jepun ke-49

1_JBS_PenyerahanBenderaKapalBelia.jpg2_JBS_PenyerahanBenderaKapalBelia.jpg3_JBS_PenyerahanBenderaKapalBelia.jpg4_JBS_PenyerahanBenderaKapalBelia.jpg5_JBS_PenyerahanBenderaKapalBelia.jpg6_JBS_PenyerahanBenderaKapalBelia.jpg7_JBS_PenyerahanBenderaKapalBelia.jpg8_JBS_PenyerahanBenderaKapalBelia.jpg9_JBS_PenyerahanBenderaKapalBelia.jpg10_JBS_PenyerahanBenderaKapalBelia.jpg11_JBS_PenyerahanBenderaKapalBelia.jpg

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan akan menghantar seramai 16 orang belia dan seorang Ketua Delegasi (National Leader) bagi mewakili Negara Brunei Darussalam untuk menyertai Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) ke-49 selama 35 hari bermula pada 14 Januari hingga 17 Februari 2026 di Tokyo, Jepun.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Delegasi Negara Brunei Darussalam Ke Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun ke-49 (SSEAYP 49) telah diadakan bertempat di Bilik Simpur, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Hadir menyempurnakan penyerahan bendera negara tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Hazwan Nizam bin Ibrahim, dan diikuti dengan ucapan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Yang Mulia Awang Ibrahim bin Sabli selaku Ketua Delegasi Negara Brunei Darussalam Ke SSEAYP 49 dan diselajurkan dengan penyerahan tiket penerbangan kepada Ketua Delegasi oleh Deputy Chief of Mission / Counsellor dari Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, MIURA Keiko. Majlis turut menyaksikan ikrar daripada Delegasi Negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

Delegasi Negara Brunei Darussalam terdiri daripada lapan (8) orang lelaki dan lapan (8) orang perempuan berumur antara 18 hingga 30 tahun, diketuai oleh seorang Ketua Belia, Yang Mulia Awang Muhammad Irham bin Awang Roslan dan seorang Penolong Ketua Belia, Yang Mulia Dayang Berlyanna Indah Yordhana binti Jefry.

Sebanyak enam (6) tajuk utama akan dibincangkan semasa program dijalankan nanti iaitu Quality Education; Economic Growth and Sustainable & Responsible Tourism; Global Environment and Climate Change; Disaster Risk Reduction and Recovery; Social Welfare and Inclusion; dan Digital Society and AI. Tema perbincangan tersebut dipilih daripada Implementation Plan of the Joint Vision Statement on ASEAN-Japan Friendship and Cooperation Trusted Partners yang diterimapakai dalam Sidang Kemuncak Bagi Memperingati Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun pada 17 Disember 2023 di Tokyo, Jepun.

Program pada edisinya kali ini akan membuat persinggahan ke dua buah negara iaitu Thailand dan Singapura, di mana pengisian termasuk pertemuan bersama pembesar negara, program tinggal bersama keluarga angkat, sesi interaksi bersama peserta tempatan, kajian lapangan dan banyak lagi.

Program antara lain bertujuan untuk mempromosikan persahabatan dan persefahaman bersama di kalangan belia Jepun dan negara anggota ASEAN khususnya Negara Brunei Darussalam, selain dapat meluaskan perspektif para belia tentang dunia, dan seterusnya mengukuhkan semangat kerjasama antarabangsa dan kemahiran praktikal para belia untuk kerjasama antarabangsa. Hasilnya, ia diharapkan dapat memupuk pemimpin generasi pelapis yang berkemampuan untuk menggunakan kemahiran kepimpinan dalam pelbagai bidang dalam masyarakat globalisasi.
Attachments
Created at 1/13/2026 9:33 PM by  
Last modified at 1/13/2026 9:34 PM by