Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

10.01.2026 | Upacara Pratonton Persembahan Kebudayaan Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun ke-49 (SSEAYP)

1_JBS_NationalPresentationKapalBelia.png2_JBS_NationalPresentationKapalBelia.png3_JBS_NationalPresentationKapalBelia.png4_JBS_NationalPresentationKapalBelia.png5_JBS_NationalPresentationKapalBelia.png6_JBS_NationalPresentationKapalBelia.png7_JBS_NationalPresentationKapalBelia.png8_JBS_NationalPresentationKapalBelia.png9_JBS_NationalPresentationKapalBelia.png10_JBS_NationalPresentationKapalBelia.png11_JBS_NationalPresentationKapalBelia.png12_JBS_NationalPresentationKapalBelia.png13_JBS_NationalPresentationKapalBelia.png14_JBS_NationalPresentationKapalBelia.png

Negara Brunei Darussalam pada tahun ini sekali lagi telah dipelawa bagi mengikuti Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) kali ke-49, yang merupakan Program Pertukaran Belia Antarabangsa dilaksanakan khusus untuk belia rantau ASEAN dan Jepun. 

Negara akan menghantar satu kontinjen seramai 16 belia dan seorang Ketua Kontinjen (National Leader) dengan keramaian keseluruhan 181 belia daripada 11 buah negara yang menyertainya. 

Program Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP 2025) tahun ini akan berlangsung selama 34 hari, bermula pada 15 Januari hingga 17 Februari 2026. Program ini akan bermula di Tokyo, Jepun dan seterusnya akan singgah di beberapa negara ASEAN iaitu Singapura dan berakhir di Thailand. Sepanjang program, para peserta akan mengikuti pelbagai aktiviti yang disusun oleh negara-negara disinggahi, antaranya Majlis Selamat Datang, Aktiviti Tinggal Bersama Keluarga Angkat, serta Lawatan Sambil Belajar. 

Salah satu pengisian Program SSEAYP ini mengkehendaki setiap kontinjen untuk membuat Persembahan Kebudayaan sebagai salah satu saluran untuk memperkenalkan identiti dan kebudayaan negara masing-masing. Bagi tujuan tersebut, satu pratonton Persembahan Kebudayaan Kebangsaan (National Presentation) telah diadakan di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang akan dipersembahkan oleh kontinjen negara semasa majlis-majlis resepsi di negara-negara tempat persinggahan dan juga sebagai aktiviti pengenalan negara di atas Kapal Nippon Maru yang akan digunakan sepanjang pelayaran di lautan. 

Hadir menyaksikan pratonton tersebut ialah Yang Mulia Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat. 

Persembahan Kontinjen Negara Brunei Darussalam bagi Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun ke-49 bertemakan “Menelusuri Mutiara Darussalam”, yang mengetengahkan kekayaan budaya, identiti kebangsaan, cara hidup serta nostalgia masyarakat Brunei, disulami elemen legenda rakyat dan kreativiti seni. Persembahan ini merangkumi tarian, sketsa, seni mempertahankan diri, sajak, lagu serta tayangan video, dengan tujuan menyemai dan membangkitkan semangat jati diri serta kebanggaan sebagai anak Brunei di peringkat antarabangsa. 

Sebelum itu, majlis terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diketuai oleh Yang Mulia Md Hazwan Nizam bin Ibrahim, Ketua Bahagian Agama Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun ke-49, dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Kontinjen Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Ibrahim bin Haji Sabli, Penolong Penyelia Pusat Belia. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata kepada penaja-penaja yang memberikan sokongan dan tajaan kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke SSEAYP 2025. Majlis turut menyaksikan tayangan video pengenalan kontinjen serta persembahan Cheers dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat. 

Attachments
Created at 1/12/2026 9:26 PM by  
Last modified at 1/12/2026 9:26 PM by