










Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengadakan Majlis Hari Mekar Y-LITE 2025, YOUTH: Leadership, Innovate, Talent and Empowerment Programme 2025 bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dayang Zainab binti Haji Morshidi, Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh peserta program, Yang Mulia Mohamad Hishamdi bin Mohamad Masuni, diikuti dengan ucapan daripada Yang Mulia Muhammad Amirul Syazmie bin Ibrahim, Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan selaku Pengerusi Program Y-LITE 2025 dan diteruskan dengan menyaksikan tayangan video program berkenaan. Majlis diteruskan dengan menyaksikan sesi perkongsian daripada wakil peserta Y-LITE 2025 iaitu Yang Mulia Awang Muhammad Dzahiruddin @ Muhammad Hanafi bin Haji Kifli dan Yang Mulia Dayang Jamilin Syasya binti Jamil. Tetamu kehormat majlis turut menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta program.
Majlis dilanjutkan dengan penyampaian hadiah tajaan, sijil penghargaan dan cenderamata kepada peserta terbaik bagi empat (4) kategori iaitu Kategori Penggerak Post-Programme Activity, Kategori Aspirational Participant, Kategori Emerging Potential Participant dan Kategori Outstanding Participant dan diselajurkan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja program. Majlis diakhiri dengan menyaksikan persembahan nyanyian bertajuk ‘Teruskanlah Impianmu’ disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Siti Nur Adlina binti Tunggal, bekas peserta Global Youth Summit 2023 dan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
Seramai 38 orang peserta dari keempat-empat daerah terdiri daripada Institut Pengajian Tinggi, Persatuan dan Pergerakan Belia dan belia-belia perseorangan telah menyertai program berkenaan.
Y-LITE (Youth - Leadership, Innovative, Talent, Empowerment) merupakan sebuah program yang membentuk generasi masa depan terutama para belia untuk menjadi pemimpin, inovasi, dan agen perubahan di peringkat global. Program ini memfokuskan dalam memberdayakan belia agar memiliki kemahiran dan pengalaman yang diperlukan dalam dunia yang semakin berkembang pesat, serta memberi impak positif dan mandiri kepada masyarakat secara global.
8 Januari 2026
Program Y-LITE juga diinisiatifkan untuk mengenalpasti belia yang mempunyai nilai-nilai, kemahiran dan pengetahuan yang menjurus kepada matlamat Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035, sebagai persediaan pihak jabatan untuk meningkatkan dan mempersiapkan kumpulan belia ini sebagai ‘Belia Siaga Masa Depan’, di samping akan memenuhi keperluan penyertaan program di peringkat serantau dan antarabangsa selaku wakil belia Negara Brunei Darussalam.
Y-LITE merujuk kepada generasi belia masa depan yang akan memainkan peranan sebagai peneraju perubahan global. Program ini bertujuan untuk mendorong peserta agar berfikir secara futuristik, mewujudkan kesedaran terhadap impak jangka Panjang daripada tindakan yang diambil oleh belia pada masa kini, serta mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran dan merebut peluang yang ada pada masa hadapan.