









Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Chef de Mission, Yang Mulia Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, Ketua Urus Setia, Pegawai Urus Setia, Pegawai Perhubungan, Kakitangan Perubatan, 5 orang Jurulatih dan 25 orang atlet telah kembali ke Negara Brunei Darussalam dengan menaiki pesawat C295 MW Tentera Udara Diraja Brunei selepas berada di Kuching, Sarawak bagi mengikuti temasya Sukan Borneo Ke-6 2025.
Berada di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba bagi menyambut ketibaan kontinjen negara dan seterusnya mengalungkan sesandang serta memberikan ucapan tahniah ialah Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat.
Turut hadir ialah Yang Mulia Encik Abdul Munir Lutfi Said, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Kolonel (U) Hismawadi bin Haji Mohd Said, Timbalan Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei; Yang Mulia Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan serta para ibu-bapa dan penjaga.
Aturcara majlis dimulakan dengan mengalu-alukan ketibaan Kontinjen Negara Brunei Darussalam, diselajurkan dengan tetamu kehormat mengalungkan sesandang tahniah kepada pemenang pingat dan diteruskan dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim, Pegawai Penganalisa di Jabatan Belia dan Sukan. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam berjaya meraih sebanyak 4 pingat emas, 7 pingat perak dan 7 pingat gangsa melalui sukan akuatik (renang), tarik tali dan olahraga.