









Negara Brunei Darussalam akan menyertai Sukan Borneo Ke-6 2025 yang akan diadakan di Kuching, Sarawak bermula pada 24 hingga 28 September 2025.
Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Borneo Ke-6 2025, Kuching, Sarawak telah diadakan bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Hadir menyempurnakan penyerahan bendera negara tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat majlis.
Aturcara majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Haji Nuurmatiin bin Haji Abu Bakar, Guru Ugama Tingkat II, yang juga membacakan Doa Selamat diakhir majlis dan diikuti dengan ucapan oleh tetamu kehormat. Majlis diselajurkan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada Yang Mulia Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Borneo Ke-6 2025, Kuching, Sarawak. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
Hadir sama dimajlis berkenaan ialah Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Negara Brunei Darussalam; Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan; Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan serta para ibu-bapa dan penjaga.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai 36 orang terdiri daripada 25 orang atlet, 5 orang Jurulatih dan 6 orang pegawai termasuk Chef de Mission, Ketua Urus Setia, Pegawai Urus Setia, Pegawai Perhubungan dan Kakitangan Perubatan.
Pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak 5 acara sukan iaitu Akuatik (Renang), Badminton, Olahraga, Boling Padang dan Tarik Tali.
Sukan Borneo merupakan kejohanan pelbagai sukan yang melibatkan peserta dari wilayah dan negara di Borneo yang bermula pada tahun 1955 dan kali terakhir ianya diadakan ialah pada tahun 2013 di Wilayah Persekutuan Labuan.
Pada Sukan Borneo Ke-5 di Wilayah Persekutuan Labuan, kontinjen negara telah menyertai sebanyak 11 acara sukan yang dipertandingkan dan berjaya meraih 7 pingat emas, 11 pingat perak dan 18 pingat gangsa melalui sukan Boling Padang, Futsal, Gasing, Karatedo, Olahraga, Renang, Sepak Takraw, Silat dan Tarik Kalat.
Kontinjen negara akan bertolak ke Kuching, Sarawak pada hari Isnin, 22 September 2025.