

Isnin, 5 Zulhijah 1446/2 Jun 2025 – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Solat Sunat Hajat Berjemaah serta merafakkan Doa Khas Kesihatan dan Kesejahteraan seterusnya Solat Fardu Asar Berjemaah secara serentak di masjid-masjid utama di keempat-empat daerah.
Bagi Daerah Brunei dan Muara, tumpuan utama bagi mengadakan Solat Sunat Hajat Berjemaah dan seterusnya Bacaan Doa Khas Kesihatan dan Kesejahteraan adalah di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. Turut hadir menyertai para jemaah ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Manakala Daerah Tutong pula, tumpuan utama adalah di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Hadir menyertai para jemaah ialah Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Bagi Daerah Belait majlis diadakan dengan tumpuan utama di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait. Turut hadir menyertai para jemaah ialah Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Sementara di Daerah Temburong, tumpuan majlis adalah di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar. Hadir menyertai para jemaah ialah Yang Mulia Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir bagi sama-sama menunaikan Solat Sunat Hajat Berjemaah serta merafakkan Doa Khas Kesihatan dan Kesejahteraan ialah seluruh warga dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, warga persatuan/pergerakan/kelab belia, persatuan sukan, persatuan beruniform serta orang ramai.