BERAKAS, Rabu, 9 Jamadilakhir 1446/11 Disember 2024. – Kontinjen Negara Brunei Darussalam seramai 15 orang belia dan seorang Ketua Kontinjen (National Leader) telah kembali ke Negara Brunei Darussalam selepas menyertai Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun ke-48 (SSEAYP 48) bermula pada 04 November 2024 yang lalu di Tokyo, Jepun.
Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyambut ketibaan kontinjen negara ialah Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, Pengarah Belia dan Sukan, serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Belia dan Sukan.
Pada tahun ini, Kontinjen Negara Brunei Darussalam terdiri daripada Yang Mulia Syed Abdul Muiz bin Haji Syed Anayatullah Shah, Pegawai Belia dan Sukan selaku Ketua Kontinjen (National Leader), bersama 15 orang belia berumur antara 18 hingga 33 tahun yang diketuai oleh seorang Ketua Belia, Yang Mulia Mohammad Azid bin Haji Mohamed Sambas dan seorang Penolong Ketua Belia, Yang Mulia Farah Naqibah binti Haji Abdul Rahim.
Program yang berlangsung selama 38 hari bermula dari Tokyo, Jepun tersebut belayar menggunakan Kapal Nippon Maru menuju ke Bandar Ho Chi Minh, Vietnam; Jakarta, Indonesia; dan berakhir di Tokyo, Jepun.
Para peserta program telah mengikuti pelbagai aktiviti yang disusun oleh negara-negara disinggahi seperti program perbincangan tajuk-tajuk utama yang diberikan, pertukaran budaya, sesi aktiviti selepas program, kunjung hormat, lawatan sambil belajar, interaksi bersama belia tempatan dan sebagainya.
Antara yang menarik ialah Program Homestay dimana para peserta tinggal bersama keluarga angkat dan mengetahui secara lebih dekat akan gaya hidup serta budaya termasuk makanan yang popular di negara-negara tersebut.
Diharap para peserta beroleh ilmu, kemahiran dan pengalaman yang berguna serta boleh menjadi inspirasi kepada para belia yang lain disamping dapat mempromosikan dan mengangkat nama baik Negara Brunei Darussalam selaku Young Ambassador di dalam program tersebut.