KUALA BELAIT, Ahad, 6 Jamadilakhir 1446/8 Disember 2024. – Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) khususnya Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah mengungkayahkan Kempen Hari Bertindak Sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2024 yang diadakan serentak di keempat-empat daerah hari ini.
Hari Sukarelawan Antarabangsa merupakan mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diadakan pada 5 Disember setiap tahun. Hari Sukarelawan Antarabangsa dilihat sebagai peluang unik bagi sukarelawan dan organisasi untuk meraikan usaha, berkongsi dan mempromosi kerja mereka serta menyumbang kepada perdamaian dan pembangunan dengan menyokong pengiktirafan sukarelawan dan bekerjasama dengan rakan-rakan untuk mengintegrasikan sukarelawan ke dalam program pembangunan.
Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa ini bertujuan untuk menyediakan platform bagi mengumpulkan masyarakat Negara Brunei Darussalam dalam pembangunan semangat kesukarelawanan, serta menjadi lambang perpaduan dan usaha di pelbagai peringkat masyarakat menuju ke arah perubahan melalui pendekatan bersama dan bekerjasama.
Objektif utama sambutan adalah sebagai wadah bagi mengumpulkan masyarakat ke arah memupuk semangat kesukarelaan, disamping memberi penghargaan kepada sukarelawan dan organisasi yang aktif dalam kerja-kerja sukarela melalui penggunaan aplikasi Mengalinga. Ianya juga dapat memperkukuhkan budaya perpaduan dikalangan masyarakat dalam melaksanakan kerja-kerja yang bermanfaat serta memberikan kefahaman mengenai konsep kesukarelaan melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Bersempena dengan sambutan tersebut, Majlis Sambutan dan Penghargaan Kempen Hari Bertindak telah diadakan di Kompleks Sukan Mumong, Daerah Belait.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.
Hadir sama selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir menyertai aktiviti Kempen Hari Bertindak (Day of Action - DOA) di Daerah Belait ialah Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan) KKBS; Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan; Yang Mulia Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub, Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan) Kementerian Pembangunan; Yang Mulia Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang) Kementerian Pembangunan; serta pegawai-pegawai kanan KKBS dan Kementerian Pembangunan.
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Qayyum bin Haji Aminnuddin, Imam Masjid RPN Kampung Pandan, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, Pengarah Belia dan Sukan selaku Pengerusi Majlis dan diteruskan dengan penyampaian sijil dan plak penghargaan kepada lima (5) Trailblazers Aplikasi Mengalinga bagi sesi 2023-2024 yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis. Manakala penyampaian sijil dan plak penghargaan kepada lima (5) Highflyers Aplikasi Mengalinga bagi sesi 2023-2024 telah disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis.
Bagi memeriahkan lagi majlis sambutan, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan di sekitar kawasan Kompleks Sukan Mumong seperti Penyerahan Sumbangan Back to School kepada sepuluh (10) orang penerima bantuan disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis, mengecat walkway, menanam bunga, dan Self Practical Defensive Driving.
Tetamu Kehormat Majlis juga turut menyertai aktiviti Kempen Hari Bertindak di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan anjuran IBTE Agro-Technology, Wasan iaitu Program Kesedaran Gaya Hidup Sihat. Seterusnya Tetamu Kehormat Majlis bergerak ke Skate Park Kampung Pandan bagi mengikuti aktiviti Mural Painting dan mengecat kawasan Skate Park anjuran Belia Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pandan.