Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

08.08.2024 | Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma Xxi) Sarawak 2024

penyerahan bandera sukan sukma 2024 p1.png

penyerahan bandera sukan sukma 2024 p2.png

penyerahan bandera sukan sukma 2024 p3.png

penyerahan bandera sukan sukma 2024 p4.png

penyerahan bandera sukan sukma 2024 p5.png

penyerahan bandera sukan sukma 2024 p6.png

penyerahan bandera sukan sukma 2024 p7.png

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 Safar 1446/8 Ogos 2024. – Negara Brunei Darussalam akan menyertai Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) Sarawak 2024 yang akan diadakan di Kuching, Sarawak bermula pada 17 hingga 24 Ogos 2024.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) Sarawak 2024 telah diadakan bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hadir menyempurnakan penyerahan bendera negara tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Muaz'zam Azri bin Zulkifli, Pegawai Perkembangan Ugama i-Ready, Pusat Pembangunan Belia yang juga membacakan Doa Selamat di akhir majlis, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan diselajurkan dengan ucapan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Yang Mulia Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly Pemangku Pengarah Belia dan Sukan selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024, Malaysia. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir dimajlis berkenaan ialah Yang Mulia Tengku Muhammad Faiz bin Tengku Sulaiman, Setiausaha Pertama, Suruhanjaya Tinggi Malaysia Ke Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Kesukanan), KKBS; Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS; Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan serta para ibu-bapa dan penjaga.

Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai 88 orang terdiri daripada 61 orang atlet dan 27 orang pegawai termasuk Chef de Mission, Assistant Chef de Mission, Ketua Urus Setia, Pegawai Perubatan, Pegawai Urusetia, Pegawai Perhubungan, Jurulatih, Penolong Jurulatih dan Kakitangan Perubatan.

Edisi SUKMA pada tahun ini Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak sebelas (11) acara sukan iaitu Akuatik (Renang), Olahraga, Catur, E-Sukan, Lawan Pedang, Karate, Bola Jaring, Pencak Silat, Sepak Takraw, Taekwondo dan Wushu.

Penglibatan Negara Brunei Darussalam dalam temasya SUKMA ini adalah sebagai pasukan jemputan di mana pertama kali negara mengikutinya adalah pada tahun 1996 iaitu SUKMA Ke-VI yang berlangsung di Negeri Pahang, Malaysia. Hingga ke hari ini negara telah berjaya memperolehi 5 pingat emas, 14 pingat perak dan 30 pingat gangsa, di mana pencapaian terbaik negara ialah pada tahun 2004 di Negeri Sembilan dengan meraih 1 pingat emas, 5 pingat perak dan 5 pingat gangsa. Kali terakhir Negara Brunei Darussalam menyertai SUKMA ialah pada tahun 2022 di MSN, Kuala Lumpur, Malaysia dengan memperolehi 2 pingat perak dan 2 pingat gangsa.

Kontinjen negara dijangka bertolak secara berperingkat-peringkat bermula 9 Ogos 2024.

Attachments
Created at 8/9/2024 9:53 PM by Roslinawati Binti Jamaludin
Last modified at 8/9/2024 9:53 PM by Roslinawati Binti Jamaludin